suria

Kaunter Imigresen Untuk Program 6P Dibuka Sehingga Malam Esok

KUALA LUMPUR: Pendaftaran Program 6P di kaunter Jabatan Imigresen seluruh negara hanya akan dibuka sehingga 10 malam Jumaat bagi memberi peluang kepada kakitangan Jabatan Imigresen menyambut Aidilfitri.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata majikan dan pekerja asing tanpa izin boleh terus berdaftar dengan syarikat-syarikat pengurus yang dilantik sehingga 31 Ogos ini.

Tarikh pendaftaran itu yang sepatutnya berakhir pada 21 Ogos lepas telah dilanjutkan bagi memberi peluang kepada majikan dan pekerja asing yang belum berdaftar berbuat demikian.

Dalam kenyataan berasingan, jabatan itu berkata perkhidmatan kaunter di Jabatan Imigresen negeri yang beroperasi pada setiap hari sebelum ini, akan ditutup selama empat hari sempena Aidilfitri mengikut cuti hujung minggu di setiap negeri.

Bagi negeri yang bercuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, kaunter akan ditutup operasi pada 27 dan 28 Ogos serta 3 dan 4 Sept manakala bagi negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu, kaunter akan ditutup operasi pada 26 dan 27 Ogos serta 2 dan 3 Sept. - BERNAMA

Artikel Lain