suria

Dakwaan Krisis Ilmuan UM: Tidak Perlu Tubuh Jawatankuasa Kabinet - Khaled Nordin

MELAKA: Kementerian Pengajian Tinggi menolak cadangan penubuhan Jawatankuasa Kabinet bagi menyiasat dakwaan berlakunya krisis kemerosotan ilmuan dan pakar yang sedang dihadapi Universiti Malaya.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penubuhan jawatankuasa itu tidak perlu kerana apa yang berlaku di universiti itu bukan berkaitan penyelewengan dan ianya boleh diselesaikan secara dalaman.

"Saya ingat tidak perlu penubuhan jawatankuasa itu sebab perkara yang dibuat oleh Universiti Malaya adalah perkara yang memang kementerian putuskan perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Pengajian Tinggi Dengan Warga dan Pelajar Kolej Komuniti di Bukit Beruang di sini, malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan daripada Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Datuk Dr Kamarudin Kachar agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa tersebut bagi menyiasat dakwaan berlakunya krisis kemerosotan ilmuan dan pakar yang sedang dihadapi Universiti Malaya.

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pengajian Tinggi sudah banyak kali memberi penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan berkaitan universiti itu seperti dakwaan seramai 146 staf akademik meletak jawatan sejak 2009 kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan Naib Canselor Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.

"Sebenarnya lebih 120 orang, itu pun termasuk orang mati, kontrak habis, yang berhenti 76 orang dimana 49 daripadanya dari fakulti perubatan, profesor tidak sampai 10 orang yang berhenti, yang lain pensyarah biasa.

"Dari fakulti perubatan yang berhenti, jika seseorang yang bekerja di Kementerian Kesihatan sebagai doktor dia hanya jaga pesakit tetapi kalau dia sebagai pensyarah dia jaga pesakit, buat penyelidikan, dia kena menulis dan mengajar tetapi gaji dia sama, jadi dia lari ke sektor swasta," katanya.

Beliau berkata dakwaan yang ditimbulkan itu disebabkan beberapa pensyarah yang tidak berpuashati dalam soal kenaikan pangkat kerana Naib Canselor sudah menaikkan standard seperti sekiranya inginkan kenaikan pangkat seseorang pensyarah itu perlu menulis jurnal yang berimpak tinggi.

"Menerbitkan jurnal yang berimpak tinggi, kalau kita tidak buat, universiti di Indonesia dan Thailand sudah buat, nanti kita akan kalah. Ini soal untuk melonjakkan kecemerlangan UM, untuk melonjakkan nama baik UM dan Malaysia dalam sektor pengajian tinggi," kata Mohamed Khaled. -BERNAMA

Artikel Lain