suria

Cuti Polis Terengganu Dibekukan

MARANG: Cuti semua polis trafik di Terengganu dibekukan bermula pada Rabu sehingga 6 September untuk mengawal lalulintas sepanjang perayaan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, cuti anggota polis trafik terpaksa dibekukan dan mereka akan ditugaskan dalam operasi Ops Sikap ke-24 dan Kempen Rumah Selamat yang bermula pada Rabu.

"Kita terpaksa membekukan cuti anggota trafik untuk bertugas dalam operasi Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat sehingga seminggu selepas raya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat di sini, Rabu.

Operasi kali ini melibatkan 201 pegawai dan anggota polis termasuk 160 terdiri daripada anggota polis trafik.

Beliau turut menasihati pemandu agar berhemah ketika memandu sepanjang musim perayaan ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya.

"Melalui program ini kita harap dapat memberi kesedaran kepada pengguna khususnya mereka yang akan pulang ke kampung pada hari raya ini supaya lebih berhati-hati sewaktu berada di jalan raya.

Menurut beliau, polis akan mengawal jalan pantai dari Kuantan ke Kuala Terengganu sejauh 135 kilometer dan dari Besut ke Kuala Terengganu sejauh 180 kilometer.

"Kita mensasarkan penurunan kes kemalangan jalan raya pada tahun ini sebanyak 60 peratus manakala pada tahun lepas pihak polis berjaya mengurangkan kes kemalangan sebanyak 42 peratus," kata Hamzah. -BERNAMA

Artikel Lain