suria

SPAD, Puspakom Meterai Perjanjian Berkaitan Kenderaan Darat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Rabu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) bagi mewujudkan kerjasama efektif untuk memastikan keselamatan pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan lebih terjamin.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, menerusi memorandum persefahaman itu, kedua-dua pihak dapat berkongsi maklumat dalam aspek mengesan, merekod dan mengambil tindakan susulan terhadap pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan yang gagal hadir pemeriksaan wajib di Puspakom.

"Dengan termeterainya memorandum persefahaman ini, SPAD dapat mencapai objektif penubuhannya dalam pengawalseliaan dan penguatkuasaan undang-undang supaya pengangkutan awam darat selamat dan lebih efisyen," katanya pada sidang media di sini Rabu

Menurut Syed Hamid, SPAD dan Puspakom akan mewujudkan pangkalan data mengenai maklumat pemilik pengangkutan awam serta kenderaan perdagangan untuk dikongsi bersama seperti yang dilakukan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Saya percaya langkah ini dapat membantu memudahkan urusan operator bas mahupun pemilik kenderaan pengangkutan untuk mengemaskini maklumat dan melakukan pemeriksaan yang diwajibkan," ujarnya.

Sehubungan itu, Syed Hamid berkata, SPAD amat mengalu-alukan kerjasama daripada syarikat swasta untuk membantu kerajaan dalam melakukan penambahbaikan kualiti dan standard perkhidmatan pengangkutan awam darat agar keselamatan penumpang terjamin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Hisham Othman berkata kira-kira 7,000 kenderaan perdagangan tidak hadir bagi menjalankan pemeriksaan mandatori dan berkala setiap enam bulan sekali.

"Justeru perjanjian itu dilakukan tepat pada masanya untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan pemilik kenderaan perdagangan supaya patuh terhadap undang-undang peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Darat 2010," katanya.

Jelas Hisham, kegagalan pemilik kenderaan itu berbuat demikian mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk timbul perasaan khuatir tidak akan lulus pemeriksaan sehingga memaksa mereka mengeluarkan perbelanjaan untuk memperbaiki kenderaan.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang gagal melakukan pemeriksaan, Hisham memberitahu mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan.

"Tindakan undang-undang di bawah kuasa. JPJ tetapi mungkin kenderaan mereka akan disita dan lesen turut digantung," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, SPAD telah meluluskan sebanyak 1,956 permit Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi pengusaha bas selepas tarikh akhir permohonan berakhir pada Selasa.

Berdasarkan jumlah itu, penambahan sebanyak 393 permit dicatat pada tahun ini berbanding 1,563 yang dikeluarkan tahun lalu.

Artikel Lain