suria

RTM Sedia Lebih 100 Program Khas Sempena Aidilfitri, Hari Merdeka dan Hari Malaysia

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan lebih 100 program khas untuk penonton dan pendengarnya sempena Aidilfitri, Hari Merdeka dan Hari Malaysia bermula dari 29 Ogos hingga 16 September ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhayati Ismail berkata program yang bertemakan "Rayakan Merdeka" di RTM akan disiarkan di saluran TV1, TV2 dan TVi (saluran 180) beserta 34 saluran radionya.

"Tahun ini adalah tahun yang istimewa kerana kita meraikan Hari Raya, Hari Merdeka dan juga Hari Malaysia secara serentak dan untuk mendapatkan keistimewaan ini, kita mungkin perlu menunggu lebih sepuluh tahun lagi," katanya pada sidang media Merdeka Raya di Wisma Radio RTM di sini, Selasa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Strategik Jabatan Penyiaran Dr Jailani Mohd Yunus.

Pada tahun ini TV1 akan tampil dengan tagline "Syawal Dirai, Merdeka Dihayati", TV2 pula "Ceria Raya Merdeka” dan TVi "Setulus Perjuangan Seindah Lebaran".

Norhayati berkata bagi program raya, 58 rancangan telah disediakan di TV1, 30 program di TV2 dan 12 program untuk TVi yang melibatkan drama, telemovie dan juga bercorak hiburan.

“Program-program yang pihak RTM sajikan adalah terdiri daripada pelbagai genre seperti drama, telemovie, hiburan serta yang bercorak keagamaan dan kemerdekaan yang menepati ketiga-tiga sambutan perayaan itu,” katanya.

Antara program menarik yang disajikan untuk penonton adalah panggung raya yang akan menampilkan beberapa filem seperti “Papadom” lakonan Afdlin Shauki, drama “Manual Cinta” lakonan Eman Manan dan “Terbuang di Malam Raya” lakonan Fauzi Nawawi.

Bagi program Merdeka, sebanyak lima program di TV1, tujuh program di TV2 dan sebuah program menerusi TVi akan disiarkan.

Antara program tersebut ialah drama yang bertajuk “Tanah Ini Tanah Merdeka” lakonan Zulhuzaimy dan sebuah rancangan muzikal yang diberi nama "Simfoni Merdeka" yang akan menampilkan artis tanah air dengan lagu berunsur patriotik.

RTM turut menyediakan tiga program istimewa sempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September seperti “Teater Tun Mahathir” yang memaparkan suka duka bekas Perdana Menteri itu dari zaman kanak-kanak hingga dewasa. - BERNAMA

Artikel Lain