suria

Program Turun Padang Umno Kedah Kembalikan Keyakinan Rakyat

ALOR SETAR: Program turun padang yang dilaksanakan Umno Kedah sejak tiga tahun lepas menunjukkan perkembangan positif apabila rata-rata rakyat yang ditemui kembali yakin kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kebanyakan rakyat mengharapkan perhatian kerajaan pusat selepas masalah mereka gagal ditangani kerajaan Kedah yang dipimpin PAS.

"Mereka (pemimpin pembangkang) hanya tahu tabur janji-janji kosong sehingga mereka tidak dapat melaksanakannya dengan baik, dan turut menimbulkan masalah yang memberi kesan buruk terhadap rakyat.

"Rakyat akan menilai kerja buat yang dilakukan oleh pemimpin Umno dan hasilnya akan diterjemahkan melalui pilihan raya umum ke-13 akan datang. Rakyat mempunyai kuasa dalam menentukan siapa pemimpin yang boleh mentadbir kerajaan," katanya pada sidang media di sini.

Ahmad Bashah berkata program turun padang yang menekankan 'titik sentuhan' pemimpin dengan rakyat membolehkan penduduk di Kedah mendekati pemimpin Umno secara peribadi sekali gus mengembalikan kepercayaan mereka.

Katanya keyakinan rakyat kepada Umno dapat dilihat menerusi sambutan rakyat Kedah terhadap kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai lepas.

"Ini merupakan salah satu bukti rakyat sudah kembali menyokong kepimpinan Umno dan ini memberi peluang cerah untuk Umno dan BN memerintah kembali Kedah.

"Kerajaan negeri sekarang tidak mampu untuk melaksanakan pembangunan dan ekonomi di negeri ini malah turut membebankan rakyat dengan janji-janji kosong yang dilemparkan kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain