suria

PM Lancar Bantuan RM1.4 Bilion Untuk Program Kebajikan Rakyat

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi membantu kira-kira 500,000 penerima bantuan kebajikan masyarakat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan yang akan diberikan pada setiap bulan itu bagi membantu kumpulan sasar yang antaranya terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, dan kini termasuk balu askar dan polis.

Katanya langkah itu bagi memastikan golongan tersebut tidak terus berada dalam keadaan terpinggir dan terbiar dalam masyarakat.

"Dalam kemelut ekonomi dunia, kita lihat ada ekonomi negara tertentu yang bukan sahaja tidak menentu tetapi menguncup, ada juga negara yang pencen orang bersara terpaksa dipotong dan bantuan kebajikan terpaksa dikurangkan.

"Tetapi alhamdulillah (di) Malaysia bukan sahaja kita dapat meneruskan program ini malah dapat menambah lagi jumlah peruntukan untuk rakyat dan untuk mereka yang amat memerlukan," katanya ketika melancarkan program tersebut di pejabatnya di sini, Rabu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Peruntukan itu merangkumi bantuan untuk golongan kanak-kanak sebanyak RM290 juta, orang kurang upaya (RM332 juta), warga emas (RM455 juta) dan membiayai program-program kemasyarakatan di peringkat komuniti (RM303 juta).

Di bawah program ini juga, satu kategori baru bantuan kewangan diperkenalkan bagi balu anggota tentera dan polis yang layak, melibatkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengambil keputusan bahawa golongan ini perlu dibantu kerana untuk menegakkan satu daripada prinsip yang amat penting daripada segi falsafah negara dan satu daripada tiang utama daripada Gagasan 1Malaysia iaitu menegakkan keadilan sosial.

"Kumpulan seperti orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan kini balu anggota tentera dan polis, mereka ini merupakan kelompok yang besar dalam masyarakat kita yang jika tidak ada campurtangan kerajaan dalam program yang tersusun rapi, mereka akan terus berada dalam keadaan terpinggir dan terbiar dalam masyarakat kita.

"Dan kita akan gagal untuk menegakkan keadilan sosial. Jadi, saya berbangga program ini akan dilaksanakan," kata Najib.- BERNAMA

Artikel Lain