suria

Penguatkuasaan Lebih Ketat Mulai Esok - JPJ

KOTA BARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengetatkan penguatkuasaannya sempena Ops Raya 2011 mulai esok, apabila perantau dijangka memulakan "siri balik kampung".

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata antara langkah yang diambil ialah menambah anggota penguat kuasa di lokasi tertentu bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya.

"Esok kita jangka perantau sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing dengan waktu puncaknya adalah pada Jumaat, Sabtu dan Ahad... kita akan tambah anggota di tempat-tempat tertentu," katanya kepada pemberita selepas ditemuramah di Kelantan.fm, di sini Rabu.

Di Johor umpamanya terdapat kira-kira 152 laluan maut yang akan dipantau oleh JPJ, katanya.

Solah berkata JPJ juga akan bertegas kali ini terutama kepada pemandu bas ekspres yang tidak mematuhi arahan dan peraturan.

Beliau berkata sepanjang Ops Raya 2011 yang bermula pada 14 Ogos lepas, sebanyak 6,694 buah bas ekspres di seluruh negara telah diperiksa oleh JPJ.

Katanya 5,749 buah diperiksa di terminal utama manakala bakinya di depot syarikat bas berkenaan.

Katanya, kesemua bas yang diperiksa berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan.

"Bagaimanapun kita telah menyaman pemandu bas ekspres sebanyak 15 saman atas kesalahan menggunakan telefon bimbit, memotong barisan dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan," katanya.

Semua saman itu katanya dikeluarkan oleh anggota JPJ berpakaian biasa yang menyamar sebagai penumpang.

Solah berkata sehingga kini tiada pemandu bas yang didapati positif dadah selepas diperiksa air kencing dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Beliau turut mengingatkan pengusaha lori agar kenderaan mereka tidak berada di jalan raya pada 27 dan 28 Ogos ini serta pada 3 dan 4 Sept, atau lori itu akan disita serta dikenakan kompaun.

"Kita hanya benarkan lori yang membawa barang keperluan pengguna dan barangan kesihatan sahaja manakala yang lain jangan sesekali mengingkari arahan ini," katanya.

Beliau juga menasihatkan pihak berkuasa tempatan dinasihat agar menyediakan terminal bas tambahan di tempat yang sesuai bagi mengelakkan kesesakan dan menyusahkan pengguna lain. - BERNAMA

Artikel Lain