suria

Menteri Dalam Negeri Terima Dua Butir Peluru Serta Surat Ugutan

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima dua butir peluru hidup dalam sebuah sampul surat yang dihantar melalui pos ke pejabatnya di Putrajaya pada pukul 2 petang Rabu.

Beliau berkata, sampul surat itu turut mengandungi sebuah buku yang mana di dalamnya telah ditebuk dan diletakkan peluru-peluru tersebut.

Menurut Hishammuddin, pada muka surat pertama buku tersebut mengandungi ugutan yang bertulis tangan.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ikhlasiyah di Pantai Dalam dekat sini, beliau bagaimanapun enggan memberitahu kandungan nota ugutan tersebut.

"Saya mengesahkan bahawa hari ini saya menerima dua butir peluru hidup yang dihantar melalui pos ke pejabat saya dan saya juga menerima ugutan. Ini adalah kali pertama saya menerima ugutan menggunakan peluru.

"Surat itu diterima oleh pegawai saya dan beliau telah pun membuat laporan polis," katanya.

Hishammuddin berkata, perkara tersebut tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.

"Saya melihat ini sebagai satu perkara yang serius. Bagaimanapun ini tidak akan menjejaskan dan melunturkan semangat saya untuk terus menjalankan tugas dan terus bekerja seperti biasa yang diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui jawatan yang saya pikul," katanya.

Hishammuddin berkata beliau tidak gentar apabila menerima ugutan sebegitu kerana ia merupakan perkara biasa dan menurutnya ia adalah tindakan orang yang tertekan dan terdesak.

"Saya nak beritahu bahawa tindakan-tindakan sebegini mungkin tindakan-tindakan orang yang tertekan serta terdesak, mungkin kerana apa yang kita telah lakukan sebelum ini. Dan itu memberikan saya semangat untuk memikul amanah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain