suria

Lelaki Curi Kereta Dari Pusat Servis Ditahan

SEREMBAN: Kegiatan mencuri kereta dari pusat servis di sekitar bandar ini sejak beberapa bulan lepas berjaya dipatahkan polis dengan penangkapan seorang lelaki di Sikamat, di sini Selasa.

Ketua Polis negeri Datuk Osman Salleh berkata lelaki berusia sekitar 40an itu ditangkap 6.15 pagi semalam selepas mencuri sebuah kereta dari pusat servis di bandar ini kelmarin.

"Kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lepas, sebuah kereta yang dihantar di sebuah pusat servis di bandar ini telah dicuri oleh suspek yang berlagak seolah-olah kereta itu miliknya sebelum melarikan kereta tersebut.

"Polis yang mendapat maklumat terus menjejaki kereta jenis BMW yang dicuri dan berjaya mengesannya kira-kira sejam setengah kemudian di kawasan deretan kedai di Sikamat," katanya pada sidang akhbar, di sini Rabu.

Polis kemudian bertindak mengepung kereta terbabit dan berjaya menangkap suspek.

"Modus operandi suspek ialah mencuri kenderaan di pusat servis dan bengkel membaiki kenderaan. Dalam kes ini suspek menaiki sebuah kereta yang dicuri tapi ditinggalkan di pusat servis dan mengambil keluar (melarikan) kereta BMW milik penduduk tempatan," katanya.

Osman berkata dengan penangkapan lelaki itu, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sembilan kes curi kenderaan di bandar ini.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku telah melakukan sekurang-kurangnya sembilan kes yang serupa. Setakat ini, polis berjaya mendapatkan semula empat buah kereta curi yang lain.

"Kita percaya kereta-kereta ini ada tempat untuk dijual. Kita kini sedang mengesan lima buah kereta lagi yang suspek mengaku melakukannya," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek yang melakukan kegiatan itu seorang diri turut aktif di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Dalam perkara ini, saya menasihatkan tuan punya pusat servis dan bengkel kenderaan supaya tidak lalai menjaga harta orang ramai. Dari sini kita nampak bahawa kereta ini telah pun dicuri dengan mudahnya...jadi, mungkin kunci ditinggal dalam kereta," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain