suria

Dua Lagi Rakan Mangsa Simbahan Asid Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lagi lelaki yang merupakan rakan kepada mangsa yang disimbah asid di Wisma Bumi Raya di Jalan Raja Laut pada 8 Ogos lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata mereka yang ditahan secara berasingan di Melaka dan di ibu negara direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

"Penahanan kedua-dua lelaki berumur 20-an ini sebagai salah satu proses siasatan kita. Kita percaya mereka boleh memberi maklumat yang kita perlukan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berumur 20-an dan berkerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya telah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Semasa itu mangsa sedang berada di dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya.

Lelaki tersebut telah membuka pintu kereta mangsa dan menyimbahnya dengan asid yang kemudiannya menyebabkan kulit muka mangsa melecur teruk.

Lelaki tersebut kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki.

Sabtu lepas seorang rakan mangsa yang turut berada di dalam kereta itu telah ditahan.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata polis mempunyai cara sendiri untuk menyiasat kes tersebut dan tidak mengharapkan kerjasama penjual asid semata-mata untuk tampil memberi maklumat mengenai penjualan asid.

"Walaupun respons yang diterima dari penjual asid tidak memberangsangkan, tapi kita punya cara lain untuk mengesan suspek. Orang ramai juga perlu salurkan maklumat," katanya.

Beliau sebelum ini menggesa penjual asid di kedai untuk menyalurkan maklumat mengenai pembeli asid yang mungkin menggunakan bahan berkenaan untuk menyimbah mangsa. - BERNAMA

Artikel Lain