suria

Rumah Terbakar, Tujuh Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

SANDAKAN: Kelengkapan termasuk pakaian dan kuih untuk menyambut Hari Raya Aidlfitri bagi tujuh keluarga di Kampung Karamunting Baru dekat sini musnah selepas rumah mereka terbakar awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, kebakaran memusnahkan tujuh rumah yang didiami keluarga terbabit dan mencederakan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun.

Kesemua keluarga itu tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barang dari rumah mereka disebabkan api merebak dengan cepat.

Seorang mangsa Rozaimi Tabun, 37, memberitahu Bernama, dia terjaga dari tidur dan menyedari berlaku kebakaran selepas mendengar teriakan jiran.

Katanya api yang bermula dari rumah jirannya merebak dengan cepat dan beliau segera membawa isteri, anaknya yang berusia tujuh bulan dan adik ipar keluar dari rumah.

"Semua dokumen pengenalan diri, barang di rumah termasuk pakaian, kuih raya dan barangan keperluan untuk menyambut Hari Raya musnah terbakar," katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara di sebuah masjid tidak jauh dari kampung itu.

Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata biarpun sedih dengan kejadian yang menimpa mereka itu, tetap bersyukur kerana semua anggota keluarganya selamat.

Dalam pada itu, mangsa yang cedera dikenali sebagai Zabidah Ghulam, melecur di tangan, muka dan belakang badannya ketika menyelamatkan diri.

Beliau kini dirawat di Hospital Duchess of Kent Sandakan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Alias Abu berkata tiga jentera bomba bersama 22 anggota dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 pagi.

Katanya api berjaya dikawal pada pukul 4.27 pagi dan punca serta anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain