suria

Polis Tahan Buruh Berhubung Kematian Rakan

NIBONG TEBAL: Polis yakin dapat menyelesaikan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam parit di Kampung Tiga Kongsi di sini Sabtu lepas selepas menahan rakannya di Seberang Jaya dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata hasil siasatan dan maklumat awam, polis menahan lelaki berusia 31 tahun itu pada 4.30 pagi dan menemui motosikal milik mangsa di sebatang sungai di Simpang Ampat.

"Motosikal itu dicat dengan warna lain bagi menghapuskan barang bukti dan mengelirukan pihak polis," katanya kepada pemberita selepas menyertai anggotanya yang bertugas sempena Ops Sikap ke-24 berbuka puasa di sini malam ini.

M.Asokumaran ,31, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masih bujang, dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di situ.

Shafien berkata polis turut merampas sebuah kereta dan sebuah tukul yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Katanya polis menemui beberapa kesan darah dalam kereta berkenaan yang dipercayai digunakan untuk membawa mayat mangsa sebelum ia dicampak ke dalam parit.

Shafien berkata siasatan awal mendapati pembunuhan itu disebabkan oleh perselisihan fama.

Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai buruh itu kini direman sehingga 28 Ogos ini bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain