suria

Peniaga Dituduh Bunuh Pelancong Wanita Perancis Di Tioman

PEKAN: Seorang peniaga kecil-kecilan dari Pulau Tioman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Selasa kerana dituduh membunuh pelancong wanita warga negara Perancis, Stephanie Foray.

Asni Omar, 36, menyatakan faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Emma Shahriana Ali.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Dia dituduh membunuh Foray, berumur kira-kira 30 tahun di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman antara pukul 8 malam 10 Mei dan 12 tengah hari 12 Ogos lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Emma Shahriana kemudian mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar.

Foray yang berasal dari Bour En Bresse, Perancis, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas, dan susulan laporan polis oleh keluarga wanita itu menerusi wakil kedutaan Perancis, siasatan mendapati Foray ke Pulau Tioman pada 10 Mei dan tidak pernah mendaftar keluar.

Mengikut laporan media, siasatan lanjut polis membawa kepada penemuan rangka manusia yang dipercayai Foray, ditanam sedalam tiga meter di sebuah gua di kampung itu pada 8 Ogos lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain