suria

Pembinaan Masjid Melayu Di Melbourne

RAMADAN datang dan Ramadan pergi. Begitu cepat masa berlalu, masa meninggalkan kita tanpa kita sendiri menyedarinya. Dalam menongkah menuju ke hadapan banyak ranjau yang telah dan akan kita tempuhi. Begitu juga dengan masyarakat kita, terutamanya bagi orang Melayu. Kemanakah hala tuju kita selepas ini?

Sepatutnya dengan kehadiran Ramadan bulan yang mulia ini, kita dapat bermuhasabah tentang matlamat kehidupan dan prinsip-prinsip perjuangan yang ingin kita serapi.

Perpecahan kaum Melayu bukan sahaja berlaku di nusantara malah di negara Australia ini sudah nampak akan rekahan-rekahan yang menanti belah.

Khuatirkan fenomena ini dari terus berlaku, saya bersama beberapa rakan telah menubuhkan Malay Education and Culture Centre of Australia (MECCA). Pusat Pembelajaran dan Kebudayaan Melayu Australia ini telah diperbadankan menerusi akta persatuan dan pertubuhan Australia.

Ini menjadikan pertubuhan ini sebagai pertubuhan rasmi dan diiktiraf oleh kerajaan Australia.

Setelah lebih dua tahun penubuhannya, kami mensasarkan matlamat utama ialah dengan menubuhkan masjid. Masjid ini boleh dianggap masjid Melayu pertama di Victoria dan sebagai pusat pengumpulan dan informasi masyarakat Melayu setempat.

Sasaran ini bukanlah bertujuan untuk menambahkan asabiyah dalam agama, tetapi menjadikannya sebuah platform bagi orang-orang Melayu bersatu di bawah satu bumbung.

Perbezaan pendapat tidak boleh kita sangkalkan kewujudannya namun apakah yang kita lakukan untuk menyatukan perbalahan tersebut?

Risau memikirkan survival orang Melayu di rantau maka MECCA mengambil inisiatif sebegini. Biarlah ramai yang menyangka hasrat murni kami, namun jika hasrat ini tercapai bayangkan betapa banyaknya manfaat yang dapat kita nikmati bersama.

Baru-baru ini MECCA telah menganjurkan majlis perdana berbuka puasa julung-julung kalinya bagi masyarakat Melayu Melbourne.

Lebih 200 orang tetamu yang hadir, sama-sama berbuka puasa, bersolat dan mendengar tazkirah. Perbezaan pendapat dan politik diketepikan, ini yang dimaksudkan penyatuan dalam perbezaan.

Di majlis tersebut, pihat MECCA juga menganjurkan jualan batu-bata untuk proses awal pembinaan masjid dimana pihak penganjur mensasarkan jualan melebihi AUD20,000.

Di akhir penghujung Ramadan ini marilah sama-sama kita bersatu sambil menderma untuk kemaslahatan bangsa kita sendiri.

Para dermawan yang ingin menderma bolehlah melayari www.binamasjid.com.au untuk maklumat lanjut.

Dan di akhir kesempatan ini ingin saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua para pembaca dan kenalan.

Semoga kita dipanjangkan umur untuk bertemu dan beramal di Ramadan tahun hadapan.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monah University. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected].

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain