suria

Panglima ATM Kunjungi Rakan Sejawatan Dari Thailand

BANGKOK: Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengadakan perjumpaan dengan Komander Tertinggi Thailand Jeneral Songkitti Jaggabatara, di sini, Selasa.

Jeneral Zulkifeli yang dilantik sebagai pegawai tertinggi angkatan tentera pada 15 Jun melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya itu di ibu pejabat Angkatan Tentera Diraja Thailand pada 1.45 tengah hari.

Kemudiannya, Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu mengunjungi Setiausaha Tetap Pertahanan Thailand, Jeneral Apichart Penkitti di Kementerian Pertahanan di sini.

Kedua-dua perjumpaan itu antara lain bertujuan memperkenalkan Jeneral Zulkifeli secara rasmi dan memperkukuhkan lagi hubungan akrab antara angkatan tentera kedua-dua buah negara.

Jeneral Zulkifeli yang sedang melakukan lawatan ke sini diiringi Asistan Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain dan Atase Pertahanan, Brigadier Jeneral Datuk Azmy Yahya.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Jeneral Zulkifeli ke negara ini. Yang pertama ialah pada Mei lepas atas kapasitinya sebagai Panglimen Tentera Darat.

Pada lawatan sebelum ini, Jeneral Zulkifeli mengadakan perjumpaan dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Prayuth Chan-ocha dan Menteri Pertahanan ketika itu Jeneral Prawit Wongsuwon.

Jeneral Zulkifeli turut dianugerahi "Distinguished Alumnus Award" Angkatan Tentera Diraja Thailand dari Kolej Staf Am pada lawatan pertama itu.

Jeneral Zulkifeli dijadual pulang ke tanah air esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain