suria

Kelindan Maut, Kenderaan Rempuh Belakang Lori

REMBAU: Seorang kelindan maut apabila lori tiga tan yang dinaikinya merempuh belakang sebuah lori lain yang membawa muatan batu nisan, di Km 240.9 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara, di sini Selasa.

Gupreet Singh, 19, dari Amritsar, India maut di tempat kejadian dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Pedas Linggi itu akibat cedera parah di kepala dan badan.

Jurucakap polis memberitahu Bernama pemandu lori tiga tan hanya cedera ringan, manakala pemandu dan kelindan lori satu tan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebuah jentera bomba bersama empat anggota dari Balai Bomba Rembau dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, kata jurucakap itu.

Sementara itu, pemandu lori yang membawa muatan batu nisan tersebut Muhamad Zainuddin, 24, ketika ditemui Bernama berkata kemalangan berlaku ketika beliau dalam perjalanan dari Johor Baru ke Semenyih.

"Saya sedang memandu apabila melihat cahaya lampu sebuah lori dari cermin sisi yang dipandu laju dibelakang saya. Melihat keadaan lori yang laju itu saya dah agak ia akan melanggar belakang lori saya.

"Saya terus bersedia dengan memegang erat stering apabila lori itu terus melanggar belakang lori saya menyebabkan kepala saya hampir terhantuk cermin hadapan lori. Ia berlaku dengan pantas," katanya.

Muhamad berkata beliau kemudian memberhentikan kenderaannya dan mendapati lori tersebut telah merempuh belakang lorinya sebelum menghubungi pihak berkuasa.

"Saya dan rakan saya (kelindan) membantu mengeluarkan pemandu lori itu manakala kelindannya tersepit di tempat duduk," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain