suria

FOMCA Desak Kerajaan Tambah Baik Perkhidmatan Bas Ekspres

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Selasa mendesak Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan supaya melakukan beberapa penambahbaikan terhadap perkhidmatan bas ekspres dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam itu terutamanya pada musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Datuk Paul Selvaraj berkata, penambahbaikan itu termasuk mewajibkan bas ekspres memasang perakam data perjalanan, sistem kedudukan global (GPS), menggaji pemandu berkelayakan dan disahkan dan mematuhi tahap standard struktur bas mengikut peraturan R66 Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Eropah (UNECE).

Perkara tersebut terkandung dalam memorandum yang diserahkan Presidennya, Datuk Marimuthu Nadason kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha pada 15 Ogos lalu.

"Masih ramai penduduk di negara ini kurang yakin terhadap ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan perkhidmatan bas ekspres pada musim perayaan. Jadi, memorandum ini diserahkan kepada pihak berwajib agar langkah penyelesaian dilakukan untuk menangani kadar peningkatan kemalangan membabitkan bas ekspres," katanya pada sidang media di ibu pejabat FOMCA di sini, Selasa.

Menurut Paul, orang ramai kini lebih gemar menaiki kenderaan sendiri untuk pulang ke kampung walaupun kerajaan menggalakkan mereka supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kadar kemalangan pada musim perayaan.

"Kita menyokong usaha murni kerajaan tetapi sikap sambil lewa segelintir operator bas ekspres terhadap isu keselamatan penumpang perlu dipantau dan ditangani dengan segera.

"Oleh itu, Malaysia memerlukan satu sistem yang standard dalam memantau semua aktiviti operator bas ekspres sebelum lebih ramai nyawa terkorban khususnya pada sambutan Aidilfitri," ujarnya.

Paul berkata, peningkatan kadar kemalangan jalan raya turut didorong oleh kesilapan pemandu, struktur badan bas yang tidak menepati standard keselamatan antarabangsa, reka bentuk lebuh raya terutamanya tembok konkrit penghadang dipasang mengikut kadar purata ketinggian kenderaan kecil dan penguatkuasaan yang lemah.

Jelasnya, kajian Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) menunjukkan pemandu mempunyai masa minimum untuk menjalani latihan dalam mengendalikan bas ekspres.

"Pengurusan pemandu yang baik bukan sekadar mengupah pemandu berwibawa dan sihat tetapi sepatutnya memiliki kemahiran dalam mengendalikan bas di jalan raya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Undang-undang Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC), Matheevani Marathandan mencadangkan agar sebuah badan penimbangtara atau forum pengguna ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengendalikan isu berkaitan bas ekspres.

Katanya, cadangan itu dilakukan hasil kajian FOMCA bahawa 98 peratus pengguna masih tidak tahu mengenai kewujudan dan fungsi SPAD.

"SPAD perlu berkomunikasi dengan pihak berkepentingan dan orang awam untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di negara ini. Hanya komunikasi secara dua hala akan membawa perubahan terhadap masalah ini," katanya.

Matheevani turut berharap agar Kementerian Pengangkutan memberi maklum balas secara positif dengan segera selepas meneliti memorandum ini bagi memastikan nyawa penumpang bas ekspres lebih terjamin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain