suria

Felcra Umum Agihan Dividen RM224 Juta Serta Duit Raya

KUALA LUMPUR: Felcra Bhd mengumumkan pengagihan dividen berjumlah RM224.48 juta kepada 94,000 peserta pada minggu hadapan dengan purata RM3,000 seorang.

Agihan daripada jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM995.44 juta yang dicatatkan sehingga Jun 2011 itu merupakan peningkatan sebanyak 21.46 peratus berbanding jumlah agihan tempoh yang sama tahun lepas berjumlah RM184.82 juta.

"Pada tahun ini, Felcra menjangkakan sebanyak RM850 juta akan diagihkan kepada peserta iaitu peningkatan sebanyak 62.7 peratus berbanding RM522.41 juta pada tahun 2010," kata Pengerusinya Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

"Kami juga menyasarkan penjanaan pertumbuhan perolehan sebanyak 22.82 peratus kepada RM1.83 bilion berbanding RM1.49 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu," kata beliau kepada pemberita pada majlis pengisytiharan dividen peserta Felcra di sini, Isnin.

Beliau berkata, sasaran ini dibuat bersandarkan peningkatan trend harga komoditi di pasaran global.

"Sebagai contoh, sehingga kini, kelapa sawit telah mencatatkan harga purata sebanyak RM748.57 satu tan metrik berbanding RM547.00 satu tan metrik pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 36.85 peratus," kata Tajuddin.

Beliau berkata, begitu juga dengan purata harga getah yang menunjukkan peningkatan sebanyak 49.63 peratus kepada RM14.32 sekilogram pada tahun ini, berbanding hanya RM9.57 sekilogram pada 2010.

Mengenai rancangan pengembanganya di luar negara, Tajuddin berkata, Felcra kini meninjau peluang di Kemboja.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain