suria

TLDM Tingkat Kawalan Keselamatan Di Perairan Sabah Pada Musim Perayaan

SANDAKAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negeri ini pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan tidak ada anasir jahat mengambil kesempatan melakukan jenayah.

Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan berkata sambutan perayaan itu tidak menjejaskan jumlah anggotanya yang bertugas di kapal-kapal ronda untuk tugas pengawasan dan tinjauan keselamatan.

"Malah, kawalan keselamatan di perairan negeri ini terutama di perairan timur dipertingkatkan lagi dengan tumpuan terhadap kawasan yang strategik ada impak kepada keselamatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bungkusan raya di KD Sri Sandakan di sini hari ini.

Bungkusan itu disampaikan kepada anggota yang bertugas di enam kapal peronda iaitu KD Baung, KD Todak, KD Sri Johor, KD Sri Perlis, KD Yu, dan KD Pari.

Beliau berkata kawasan perairan yang strategik mempunyai impak kepada keselamatan telah dikenal pasti, yang membolehkan pengawasan serta tinjauan di kawasan tersebut dilakukan.

Anuwi berkata anggota yang bertugas ketika musim perayaan itu mengawal keselamatan di perairan negeri ini adalah mencukupi dan musim perayaan tidak menjejaskan bilangan anggota yang bertugas.

Beliau telah mengingatkan anggota yang bertugas ketika musim perayaan itu supaya menumpukan kepada tugas mereka dan tidak lalai dalam menjalankan tugas.

Terdahulu pada majlis yang sama Anuwi menyaksikan serah terima tugas Pegawai Memerintah Kapal KD Baung antara Left Komander Saharudin Bongsu kepada Lt Komander Samsudin Abdullah dan kapal KD Todak antara Lt Ismail Hashim kepada Lt Komander Mohd Zulkarnain Mohd Rawi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain