suria

Tiga Diumum Penerima Anugerah Merdeka 2011

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia diumumkan sebagai penerima Anugerah Merdeka 2011 atas sumbangan cemerlang mereka kepada negara secara berterusan dalam bidang masing-masing.

Datuk Kenneth Yeang akan menerima anugerah itu bagi Kategori Alam Sekitar kerana sumbangan cemerlang beliau dalam memajukan kaedah reka bentuk berkaitan ekologi dan perancangan penjagaan alam sekitar.

Seorang daripada penerima bersama bagi Kategori Pencapaian Akademik Cemerlang Prof Datuk Dr Goh Khean Lee akan menerima anugerah itu kerana sumbangan beliau dalam memajukan kajian dan amalan gastroenterologi dan hepatologi di Malaysia ke tahap global.

Seorang lagi penerima bagi kategori ini ialah Prof Dr Mak Joon Wah kerana sumbangan cemerlang beliau dalam bidang penyelidikan asas dan gunaan berhubung parasilologi dan penyakit parasit, kesihatan awam dan patologi.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Datuk Shamsul Azhar Abbas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini, Isnin.

Beliau berkata, penerima anugerah itu telah mempamerkan semangat sebenar Merdeka - pembebasan minda dan semangat serta usaha memburu kecemerlangan.

"Kami juga percaya bahawa setiap tahun, setiap penerima Anugerah Merdeka meletakkan tanda aras bagi pemilihan penerima untuk masa akan datang agar semua penerimanya boleh dijadikan model peranan oleh rakyat Malaysia secara umumnya dan generasi muda khasnya," kata beliau.

Bagaimanapun, Shamsul Azhar berkata tidak ada penerima anugerah itu bagi Kategori Pendidikan dan Kemasyarakatan, Kesihatan, Sains dan Teknologi dan Sumbangan Cemerlang kepada rakyat Malaysia.

Yeang merupakan perintis bagi aplikasi prinsip ekologi untuk bangunan yang menggunakan tenaga pada kadar dan secara pasif dikenali sebagai pencakar langit bioklimat selama lebih tiga dekad.

Pada 2008, beliau diumumkan sebagai antara 50 manusia "yang akan menyelamatkan Bumi" oleh majalah terbitan syarikat akhbar UK The Guardian.

Dr Goh pula adalah pakar klinikal Perubatan Dalaman di Universiti Malaya serta seorang penyelidik dan penulis prolifik.

Beliau telah menghasilkan 191 kertas kerja untuk jurnal antarabangsa, tujuh bab buku dan 200 abstrak.

Tahun ini, beliau dipilih sebagai naib presiden Pertubuhan Gastroenterologi Dunia rakyat Malaysia pertama yang diberi penghormatan itu.

Prof Mak diiktiraf sebagai pakar global bagi penyakit filariasis dan malaria oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setelah dilantik menjadi perunding dalam sekurang-kurangnya 17 kes berbeza.

Beliau telah memberi sumbangan besar dalam memajukan bidang ubat-ubatan tropik di negara ini melalui kepimpinannya dalam pelbagai badan profesional.

Setiap kategori menawarkan hadiah RM500,000, sebuah trofi dan sijil.

Penerima bersama anugerah bagi Kategori Pencapaian Akademik Cemerlang akan menerima hadiah itu secara sama rata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijadualkan menyampai anugerah itu kepada para penerima pada 10 Oktober ini di Dewan Filharmonik Petronas di sini.

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain