suria

Pelajar Terlibat Perhimpunan Haram Di Mesir Diberi Surat Tunjuk Sebab

KUALA TERENGGANU: Pelajar tajaan Yayasan Terengganu di Mesir yang terlibat dengan perhimpunan haram di negara itu serentak dengan yang berlaku di Kuala Lumpur pada 9 Julai lepas, akan diberikan surat tunjuk sebab.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata jika penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, maka biasiswa mereka akan ditarik balik.

"Kita hantar mereka untuk belajar di Mesir dengan syarat-syarat tertentu seperti tidak melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

"Kita tidak menyekat mereka terlibat dalam politik tetapi kalau mereka gagal dalam pelajaran, ia merugikan pelajar itu sendiri," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini ketika menjawab soalan lisan Datuk Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) yang mewakili Datuk Harun Taib (Pas-Manir), yang mahukan penjelasan sama ada kerajaan negeri dapat mengesan rakyat negeri itu yang menyertai perhimpunan Bersih pada 9 Julai.

Ahmad berkata, mengikut laporan, terdapat 200 orang penyokong Pas Terengganu turut menyertai perhimpunan haram itu di Kuala Lumpur.

Abdul Wahid kemudian bangun mencelah dengan berkata ia bukan 200 orang, tetapi seramai 313 orang Terengganu yang menyertai perhimpunan Bersih pada hari berkenaan.

Kepada soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang), Ahmad memberitahu dewan bahawa kerajaan negeri menuntut RM2.1 bilion wang royalti petroleum dari kerajaan pusat dan setakat ini kerajaan pusat telah bersetuju membayar sebanyak RM1.7 bilion secara berperingkat-peringkat.

"Sehingga bulan Ogos ini kerajaan negeri telah menerima sebanyak RM200 juta," katanya.

Persidangan disambung esok.

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain