suria

Kenang-kenangan bersama LRT & bas...

PENULIS jarang sekali menaiki bas. Zaman bujang-bujang dahulu dan juga zaman sebelum berkenderaan sendiri, memang baslah yang menjadi pengangkutan utama. Masa itu belum ada Transit Aliran Ringan (LRT). Kemudian hari, apabila LRT menjadi sebahagian daripada tunggak pengangkutan utama ibu kota, barulah belajar-belajar menaiki LRT.

Pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh penulis sepanjang hayat penulis sebagai penghuni ibu kota tentang LRT hanya dua. Pertama, penulis adalah orang yang paling awal untuk menulis mengenai LRT pada tahun lapan puluhan ketika penulis masih bergelar wartawan cabuk atau ‘cub reporter’. Orang yang memberi cerita mengenai Kuala Lumpur akan membina sistem LRTnya sendiri ialah Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Saban minggu, iaitu setiap Rabu, tanpa putus, penulis akan bertenggek di pejabatnya di Aras 5, Bangunan PKNS di Jalan Raja Laut dengan harapan akan menjadi orang yang pertama memperolehi berita tentang projek pembinaan LRT di Kuala Lumpur. Kenapa hari Rabu? Rabu adalah hari kabinet bermesyuarat dan biasanya pemberita akan ‘ambush’ menteri pada hari berkenaan untuk memperolehi berita mengenai sebarang keputusan penting Jemaah Menteri. Amalan tersebut masih diteruskan oleh para wartawan sehingga ke hari ini.

Penulis sudah tidak berapa ingat bagaimana akhirnya penulis dapat membuatkan Shahrir bercakap mengenai keputusan kabinet bersetuju untuk melaksanakan projek LRT di Kuala Lumpur. Pada masa itu, ia adalah projek infra yang sangat besar dan hebat untuk Wilayah Persekutuan. Tetapi akhirnya berita tersebut berjaya diperolehi juga oleh penulis. Ada kemungkinan besar, Shahrir bosan melihat wajah penulis terpacak di pejabatnya setiap minggu tanpa penat memburu berita tersebut. Jadi akhirnya dia buka mulut untuk ‘stop’ penulis mengejarnya lagi.

Peristiwa tersebut tidak mungkin dapat dilupakan kerana setiap kali penulis menjejakkan kaki ke dalam gerabak LRT, penulis akan terkenangkan saat-saat manis penulis mengetuk mesin taip (pada era itu belum ada komputer) menulis berita mengenai projek pembinaan LRT itu. Dan seandainya penulis ada sedikit sumbangan atau bakti kepada Kuala Lumpur, mungkin itulah dia sumbangan penulis kepada warga kota dan ibu kota ini.

Peristiwa kedua yang penulis tidak dapat lupa tentang LRT ialah bagaimana penulis dan rakan sepejabat Prakash berpakat menaiki LRT ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membuat liputan perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia, Malaysia menentang Singapura baru-baru ini. Oleh kerana tuntutan tugas di pejabat, kami tidak dapat keluar lebih awal ke Bukit Jalil. Jadi satu-satunya cara untuk tiba tepat pada masanya ialah bukan dengan kereta tetapi dengan LRT.

Perancangan kami ialah menaiki kereta dari Seksyen 16 Petaling Jaya langsung ke Pasar Seni, letak kereta di sana dan dari situ berjalan kaki ke Stesen LRT Masjid Jamek dan menaiki LRT dari situ terus ke Stesen Stadium Bukit Jalil. Ternyata kami membuat keputusan yang tepat. Tetapi yang tidak berapa tepat ialah betapa padatnya setiap gerabak LRT itu dengan penyokong Malaysia hinggakan kami semua tersumbat bagaikan dalam tin sardin. Dari Stesen Masjid Jamek, tidak ada orang yang dapat memasuki gerabak lagi di hentian yang seterusnya sehinggalah kami tiba di Bukit Jalil.

Suasana dalam gerabak itu memang dahsyat sehinggakan ada yang hendak pengsan. Setiap penumpang hanya mampu berdiri tegak tanpa ada ruang untuk bergerak walaupun seinci dari tempat mereka berdiri - hanya sekadar mampu menoleh ke kiri dan ke kanan sahaja. Semua sanggup mengharungi suasana itu asalkan dapat tiba di pekarangan stadium tepat pada masanya. Itulah dua kenangan manis tentang LRT.

Hujung minggu lalu, penulis sekali lagi menggunakan khidmat LRT untuk menuju ke suatu tempat. Sebelum menaiki LRT, penulis perlu terlebih dahulu menaiki bas ‘feeder’ menuju ke stesen LRT. Bas ini kelihatan masih baru dan selesa. Namun yang tidak berapa selesa ialah cara bas itu dipandu. Ia adalah 40 minit yang sangat mengerikan sepanjang perjalanan bersama bas tersebut dari Shah Alam ke Petaling Jaya.

Waktu ialah sekitar jam 10 malam, hari Sabtu dan jalan lengang tanpa banyak kenderaan. Dari satu hentian ke satu hentian, pemandu bas tersebut memecut seolah-olah dia sedang melarikan diri dari dikejar oleh pontianak. Dia main hentam langgar dengan lubang, bongol atau laluan yang tidak rata dengan laju tanpa sedikit pun rasa bersalah yang dia akan merosakkan bas tersebut seolah-olah bas itu kalis rosak.

Habis bergegar setiap ruang di dalam bas yang tadi kelihatan kejap dan padat macam seolah-olah bas itu akan hancur berkecai. Bila sahaja menghampiri belakang kenderaan yang lain dia akan membrek seolah-olah pada setiap waktu dia sedang menguji keupayaan dan keberkesanan brek bas tersebut. Habis kami di dalam bas sekejap ke hadapan dan sekejap tersandar ke belakang. Sepanjang perjalanan itu, tidak kurang dari tiga bulatan yang kami lalui. Dan pada setiap bulatan dia akan membuat ‘korner baring’ seolah-olah dia sedang menguji keupayaan ‘G Force’ bas tersebut.

Sepanjang perjalanan itu juga, dia ke kiri bahu jalan dan ke kanan pembahagian jalan seolah-olah dia sedang membuat uji pandu sejauh mana dia boleh merapati kedua-dua bahu dan pembahagi jalan itu tanpa bergesel atau tersentuh dengan badan atau roda bas. Hakikatnya dia adalah seorang pemandu yang handal. Bas tersebut tidak sedikit pun mencecah bahu atau pembahagi jalan walaupun jarak yang memisahkan antara kedua-duanya hanya beberapa cm sahaja. Setiap kali ini berlaku, penulis terpaksa memejam mata kerana khuatir bas akan bergesel dengan pembahagi jalan, bahu jalan atau badan mahu pun bontot kenderaan lain.

Namun, kehandalan dia memandu bas tersebut bukanlah justifikasi untuk dia menunjuk ‘terror’ kepada kami semua para penumpang basnya itu. Ini kerana keselamatan kami berada di tangannya. Lalu penulis pun tertanya-tanya, kenapakah dia memandu sedemikian rupa? Apakah yang sedang dikejarnya? Atau untuk apa dia menunjuk-nunjuk kemampuannya memandu bas berkenaan sedemikian rupa. Pada wajahnya dia tidak memperlihatkan ekspresi yang dia sedang marah atau sedang bengang dengan sesuatu perkara. Jadi kenapa dia memandu begitu?

Mungkin kerana di belakang otaknya, dia peduli apa kerana itu bukanlah basnya. Mungkin juga, dia memendam perasaan marah kerana dia terpaksa bekerja pada syif malam sedangkan pada waktu itu, dia ingin berbuka puasa bersama-sama keluarganya. Ada kemungkinan juga dia merasakan inilah masanya untuk dia menguji keupayaannya memandu bas tanpa mencederakan sesiapa mahupun bas itu sendiri. Selepas hampir 40 minit berlalu, sebaik sahaja penulis turun di destinasi yang dituju, penulis dapati penulis berjalan terhoyong-hayang bagaikan baru sahaja digoncang oleh gempa bumi bermagnitud 7 Skala Richter. Rupa-rupanya tak perlu ke Jepun untuk merasai goncangan gempa bumi. Di Malaysia pun boleh iaitu di atas bas berhenti-henti...

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain