suria

Tempoh Pendaftaran Program 6P Dilanjutkan Sehingga 31 Ogos - Mahmood Adam

KUALA LUMPUR: Tarikh akhir pendaftaran biometrik bagi pekerja atau pendatang asing tanpa izin di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) dilanjutkan dari Ahad ke 31 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, Sabtu, langkah itu diambil selepas mengambil kira pihak majikan dan pendatang asing tanpa izin masih datang beramai-ramai ke kaunter pendaftaran.

Katanya, pelanjutan tarikh akhir itu juga dibuat selepas mempertimbangkan inisiatif beberapa agensi pendaftaran 6P berlesen yang memasuki kawasan pedalaman untuk mendaftarkan mereka yang enggan keluar dari kawasannya bagi urusan tersebut.

"Ia mengambil masa untuk memujuk golongan tersebut untuk mendaftarkan diri. Mereka hanya bekerjasama baru-baru ini.

"Oleh itu, sekiranya tarikh akhir tidak dilanjutkan, sebilangan besar mereka tidak dapat didaftarkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Ini akan menggagalkan matlamat usaha 6P," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Mahmood menggesa semua majikan dan pendatang asing tanpa izin merebut peluang itu kerana tarikh akhir pendaftaran tidak akan dilanjutkan lagi.

Selepas itu, katanya, program 6P akan memasuki fasa amnesti yang berikutnya dan ia dijangka bermula pada pertengahan September.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain