suria

Sultan Selangor Larang Masjid Dijadikan Gelanggang Politik

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu bertitah supaya masjid di negeri itu tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik yang boleh memecah-belahkan perpaduan ummah.

Menurutnya umay yang berpecah-belah akan hanya merugikan bangsa dan dalam masa yang sama akan memusnahkan kemajuan negeri Selangor yang telah dicapai selama ini.

Baginda berharap Jawatankuasa Masjid dapat mengaturkan pelbagai program yang dapat memberikan manfaat kepada seluruh kariah tanpa mengira usia dan status, titahnya pada majlis perasmian Masjid Desa Subang Permai di sini.

Masjid yang dibina atas tapak seluas 1.04 hektar siap dibina pada 1997 dengan kos RM2 juta.

Baginda juga turut menyarankan supaya sektor korporat, yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, supaya turut menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat di negeri itu.

Badan-badan korporat boleh menyediakan kemudahan yang diperlukan rakyat, di samping mencari keuntungan di dalam perniagaan yang diceburi, titah baginda.

"Semoga dengan sumbangan tersebut ia dapat membantu rakyat negeri Selangor hidup selesa dalam keadaan yang aman dan harmoni," titahnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain