suria

Bekalan Ikan Mencukupi Untuk Musim Perayaan

KUALA SELANGOR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar pada Sabtu memberi jaminan bekalan ikan mentah di negara ini mencukupi untuk musim perayaan ini.

Bagaimanapun, Noh berkata, harga ikan didapati meningkat ekoran tindakan peraih dan peruncit mengambil keuntungan berlebihan sedangkan mereka membeli ikan daripada para nelayan dengan harga yang rendah. Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM93,400 kepada 467 nelayan Parlimen Kuala Selangor dan Tanjong Karang di sini, Sabtu.

Noh berkata hasil jualan ikan nelayan yang rendah menyebabkan ada di antara mereka terpaksa meminjam wang dari ceti haram. Persatuan nelayan di setiap daerah perlu memantau perkara ini, katanya.

"Jika ada nelayan yang terdesak untuk menggunakan wang, mereka boleh buat permohonan wang bantuan dengan persatuan terbabit. Saya yakin jika persatuan nelayan yang dipertanggungjawabkan memainkan peranan dan menjaga kawasan masing-masing, isu ini dapat diatasi," katanya. Dalam perkembangan, Noh turut melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan masjid dan surau untuk berpolitik dengan mengadakan ceramah anti kerajaan.

Tindakan tersebut mengingkari titah Sultan Selangor yang mahukan masjid dan surau bebas dari unsur politik, katanya.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ada jemaah yang bangun meninggalkan surau selepas tidak senang dengan tazkirah politik yang diberikan. Tidak kurang juga ada yang bangkit menyuarakan bantahan," katanya.

Beliau berkata perkembangan ini menunjukkan rakyat sudah sedar akan tipu muslihat pihak yang mempolitikkan rumah ibadat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain