suria

Polis Tahan Tiga Suspek Kes Pecah Rumah Di Seberang Perai

NIBONG TEBAL: Polis percaya telah berjaya menyelesaikan lebih 30 kes pecah rumah membabitkan kerugian sekitar RM100,000 di Seberang Perai Selatan (SPS), dengan penangkapan tiga lelaki pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah SPS Supritendan Shafien Mamat berkata suspek pertama ditangkap di sebuah rumah di Nibong Tebal pada Selasa, hasil risikan dan maklumat awam.

"Susulan itu kita menahan dua lagi rakannya pada Rabu di Nibong Tebal dan merampas sebahagian barangan curi bernilai RM50,000 daripada mereka," katanya pada sidang media, di sini, Jumaat.

Antara barangan terbabit ialah komputer riba, barang kemas, surat pajak gadai, peralatan elektrik dan sebuah kereta Proton Satria.

Shafien berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka yang berusia antara 22 dan 31 tahun terbabit kegiatan pecah rumah sejak awal tahun ini.

"Modus operandi kumpulan berkenaan ialah dengan memecah masuk rumah melalui bumbung dan membuka siling sebelumh mencuri barangan berharga milik mangsa," katanya.

Shafien berkata ketiga-tiga lelaki terbabit direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan juga mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan positif dadah. "Salah seorang lelaki yang ditahan berusia 31 tahun turut dikehendaki polis berhubung kes pecah rumah di Bayan Lepas dekat sini dan kes dadah di Banting, Selangor," katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis mencari dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung 10 kes samun di sekitar SPS dan Bukit Mertajam dekat sini.

Shafien berkata, Mohd Nor Azri Shahabudin,24, beralamat di Perai dan Mohamad Zulhilmi Ahmad Zainol,19, dari Alma dipercayai anggota 'Geng Shram' yang terbabit dengan kegiatan samun.

"Polis telah berjaya menahan lima rakan mereka berusia antara 17 dan 27 tahun dalam beberapa serbuan berasingan dan kita sedang mengesan dua lelaki berkenaan bagi melengkapkan siasatan kes-kes samun," katanya.

Katanya polis percaya kedua-dua lelaki terbabit masih bersembunyi di Pulau Pinang dan orang ramai yang mengenali mereka diminta menghubungi balai polis berdekatan. -BERNAMA

Artikel Lain