suria

Pelajar Maut, Ibu Dan Adiknya Parah Dirempuh Lori

BESUT: Seorang pelajar Tahun Satu maut manakala ibu dan adiknya cedera parah akibat dirempuh lori yang terbabas di kilometer 27 Jalan Jerteh-Keruak, dekat persimpangan Felda Tenang, Hulu Besut di sini kira-kira 7.15 pagi Sabtu.

Nik Nur Madhiah Sakeri, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia setelah empat jam dirawat di Hospital Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata ibu dan adik lelaki pelajar itu, Raja Juriah Raja Saamun, 38, dan Nik Mohd Amar Zulkarnain, 2, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan.

Katanya pemandu lori itu dikatakan terlelap menyebabkan lori yang dipandunya terbabas dan melanggar van yang dinaiki mangsa yang ketika itu berhenti di bahu jalan.

"Disebabkan kemalangan itu, ketiga-tiga beranak yang baru hendak keluar daripada van dipercayai untuk membeli barangan di kedai berhampiran, tercampak beberapa meter dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita.

Katanya dengan bantuan orang ramai, ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Besut tetapi Nur Madhiah meninggal dunia empat jam kemudian ketika sedang diberikan rawatan.

Kamaruddin berkata pemandu lori berkenaan, Affendi Mohammad, 24, yang berasal dari Kampung Padang Bual, Hulu Besut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya punca sebenar kemalangan sedang disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain