suria

UM Tiada Krisis, Hanya 76 Letak Jawatan - Ghauth

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) pada Jumaat menyangkal dakwaan bahawa pusat pengajian tinggi berkenaan mengalami krisis ilmuan dan pakar seperti yang didakwa Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM).

Naib Canselornya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata, angka sebenar staf akademik yang meletak jawatan sejak 2009 hingga kini adalah hanya seramai 73 orang berbanding yang dilaporkan sebelum ini iaitu 146 orang.

Tegas beliau dakwaan UM menghadapi krisis ilmuan sama sekali tidak benar apabila jumlah kemasukan staf akademik ke universiti itu adalah empat kali ganda berbanding staf yang keluar atas beberapa sebab.

"Angka tersebut adalah tidak benar. Sejak 2009 hingga 19 Ogos 2011 terdapat seramai 123 staf akademik meninggalkan perkhidmatan atas beberapa sebab.

"Daripada jumlah itu, 76 meletak jawatan, 43 bersara dan 4 meninggal lagi meninggal dunia. Yang meletak jawatan pada tahun ini adalah seramai 15 orang," katanya pada sidang media di Bangunan Canselori UM di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan mengenai laporan muka depan sebuah akhbar pada Khamis bahawa UM sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuan dan pakar berikut peletakan jawatan 146 staf akademik sejak 2009 seperti yang didedahkan PKAUM.

Malah PKAUM yang memetik Presidennya, Prof Madya Dr Azmi Sharom turut mendakwa, pada tahun ini sahaja kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ghauth menerajui universiti itu.

Mengulas lanjut Ghauth berkata sejak 2009 hingga kini pentadbiran UM melantik seramai 463 staf akademik dengan 111 daripadanya berstatus tetap manakala 352 lagi menerusi lantikan kontrak.

"Jadi dakwaan yang mengatakan UM hadapi krisis ilmuan sekali lagi tidak benar malah untuk makluman, semua staf yang masuk ke UM sekarang ini adalah memenuhi kriteria kualiti dan dengan itu mutu akademik yang masuk semakin meningkat berbanding dahulu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain