suria

Polis Rampas Pelbagai Senjata Dan Peluru Di Taman Perlis

KANGAR: Polis merampas pelbagai jenis senjata api, peluru dan senjata tajam di beberapa lokasi di Taman Perlis dekat sini Khamis selepas menahan dua lelaki bersaudara di sebuah premis di taman perumahan itu.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner (SAC) Zull Aznam Haron berkata kedua-dua lelaki itu masing-masing berumur 35 dan 45 tahun ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam setelah polis melakukan risikan mengenai kegiatan itu.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya Jumaat, beliau berkata selepas tangkapan kedua-dua peniaga itu, polis menemui dua pucuk pistol Revolver .38 Special 2, sepucuk pistol automatik Barreta, sepucuk pistol automatik Glock dan selaras senapang patah.

Polis turut merampas lebih 2,700 peluru pelbagai kaliber dan jenama, lebih 400 katrij senapang patah dan sejumlah kelopak peluru.

Turut ditemui ialah tujuh bilah senjata tajam termasuk pedang samurai dan dua bilah pisau rambo, sejumlah bahan letupan dan dua buah kereta jenis Mercedez Benz dan Hyundai.

Zull Aznam berkata kesemua senjata, peluru, bahan letupan itu ditemui di beberapa lokasi di Taman Perlis semasa serbuan bersama yang dilakukan oleh anggota-anggota Pasukan Petugas Pembanterasan dan Penyeludupan Senjata Api dan anggota-anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki yang berumur 45 tahun itu pernah mempunyai dua rekod kesalahan lampau iaitu mengikut Seksyen 386 dan 379 Kanun Keseksaan iaitu mengugut dan mencuri manakala adiknya tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.

"Kami sedang menyiasat daripada pelbagai sudut mengenai penemuan senjata-senjata dan peluru itu," katanya.

Beliau percaya kemungkinan kesemua senjata api itu dibawa masuk dari negara jiran dan tujuan dibawa masuk masih belum dipastikan.

Beliau berkata kes itu akan disiasat mengikut empat seksyen termasuk Seksyen 7, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman bunuh atau penjara seumur hidup dan dihukum sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Selain itu, ia juga akan disiasat mengikut Seksyen 8a, Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis Perlis menyelesaikan kes kecurian wang tunai berjumlah RM191,050 pada 15 Ogos lalu dalam tempoh tidak sampai 24 jam apabila menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dengan kes itu.

Zull Aznam berkata pada 15 Ogos lalu, seorang pengurus cawangan sebuah syarikat keselamatan berusia 39 tahun membuat laporan polis selepas mendapati kunci sebuah mesin ATM yang ditempatkan di Taman Perumahan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terbuka dan terdapat kesan umpil manakala wang berjumlah RM191,050 di dalamnya telah hilang.

Sebelum itu, beliau menerima panggilan telefon daripada juruteknik mesin ATM itu berhubung kejadian itu kira-kira 1.50 tengah hari dan selepas menyiasatnya, beliau membuat laporan polis pukul 2.51 petang hari yang sama.

"Bertindak atas laporan, polis menangkap dua lelaki yang bertugas sebagai juruteknik mesin ATM di syarikat keselamatan itu yang berumur 29 dan 30 tahun dan siasatan lanjut membawa kepada penemuan semula sejumlah wang sebanyak RM190,250 daripada mereka," katanya.

Juruteknik yang berumur 29 tahun ditahan di Jalan Jublee Emas pada 15 Ogos jam 11.02 malam manakala seorang lagi juruteknik yang berumur 30 tahun ditahan di kilometer 2.5 Jalan Kangar-Alor Setar pukul 9.30 pada 16 Ogos.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain