suria

Najib Hadir Majlis Berbuka Puasa 1Malaysia

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menghadiri majlis berbuka puasa 1Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beberapa anggota jemaah menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan duta-duta asing, hadir sama pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan sumbangan netbook kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2010 serta sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim, orang kurang upaya, warga emas dan masyarakat Orang Asli.

Majlis itu turut diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor bertajuk 'Perpaduan dan Kesejahteraan Ummah: Asas Membina 1Malaysia'.

Majlis berbuka puasa itu diikuti dengan solat Maghrib, kemudiannya Isyak dan solat sunat Tarawih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain