suria

Balai Seni Lukis Negara Lancar Empat Pameran Karya Seni

KUALA LUMPUR: Balai Seni Lukis Negara (BSLN) pada Khamis melancarkan empat pameran kepada orang ramai iaitu Pameran Yayadan Syukur Selalu, Pameran Manifestasi Merdeka, Pameran JAGA (pameran arca) dan Pameran Syed Ahmad Syed Jamal Dalam Kenangan.

Ketua Pengarahnya Datuk Yusuf Ahmad berkata pameran itu bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati dan memartabatkan khazanah seni tanah air negara.

"Pameran Syed Ahmad Syed Jamal Dalam Kenangan antara pameran yang memaparkan nostalgia terhadap penghargaan dan penghormatan kepada Allahyarham Datuk Syed Ahmad Syed Jamal yang merupakan tokoh yang berperanan penting dalam perkembangan BSLN dan memegang jawatan Pengarah BSLN sejak tahun 1983 hingga 1991.

"Pameran ini bermula pada 18 Ogos hingga 18 Oktober akan memaparkan 27 karya lukisan Allahyarham yang telah menjadi koleksi karya himpunan tetap BSLN," katanya dalam ucapan selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan pelancaran pameran berkenaan di BLSN di sini.

Pada 30 Julai lalu, Allahyarham Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, 82, meninggal dunia akibat sakit tua dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Selain itu Yusuf berkata sempena dengan bulan Ramadan, Pameran Yayadan Syukur Selalu turut diadakan yang menghimpunkan lebih 30 buah karya tulisan jawi dan kaligrafi mulai 8 Ogos hingga 11 September.

Beliau berkata BSLN juga turut mengadakan pameran Jaga yang memperlihatkan paparan makna Jaga iaitu penghasilan arca berbentuk kerusi melibatkan 25 orang pengkarya muda tempatan.

"Bagi Pameran Manifestasi Merdeka, ia telah pun dibuka kepada orang ramai sejak Isnin lalu hingga 18 Sept yang merupakan satu interpertasi Merdeka bagi mendalami jiwa patriotik serta membina semangat cintakan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain