suria

APMM Labuan Tumpas Penyeludupan Rokok Dan Minuman Keras

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan berjaya mematahkan percubaan menyeludup 731 kotak minuman keras pelbagai jenama dan 300 karton rokok yang dipercayai cuba mengelak duti kastam ke tanah besar Sabah, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000.

Ketua Penguatkuasaan Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Mohd Taha Ibrahim berkata berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan, APMM Labuan berjaya membuat serbuan di perairan Labuan dengan menggunakan dua bot peronda ke atas sebuah lori yang berada dalam feri yang sedang menuju ke Menumbok sekitar pukul 9 pagi.

Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut mendapati sejumlah besar minuman keras pelbagai jenama dan rokok berjenama 'Pensil Mas' disorok di sebalik kotak-kotak yang berisi botol minuman kosong.

"Usaha menyeludup barangan kali ini adalah berlainan kerana mereka menggunakan lori untuk membawa keluar barangan seludup dengan menaiki feri untuk ke tanah besar Sabah," katanya pada sidang media Jumaat.

Beliau berkata penyeludup mengisytiharkan bahawa mereka membawa 400 kotak botol kosong di dalam sebuah lori 5 tan yang dipandu oleh seorang warga tempatan berusia 30 tahun, untuk dibawa menaiki feri menuju ke tanah besar Sabah.

Mohd Taha berkata ini adalah taktik terbaru penyeludup dalam usaha membawa keluar barangan tersebut, ia juga merupakan rampasan terbesar APMM pada tahun ini.

Beliau berkata pemandu lori tersebut ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda bagi kesalahan pertama tidak kurang sepuluh kali ganda daripada jumlah duti kastam atau RM50,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain