suria

Pembekal Sorok Mercun Dalam Reban Ayam Elak Ditahan

MARANG: Taktik seorang pembekal mercun menyorokkan bahan larangan itu di dalam reban ayam berhampian rumahnya terbongkar selepas polis menyerbu kediamannya di Kampung Rhu Rendang, di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata pembekal yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam selepas polis menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang bernilai kira-kira RM7,000 di dalam reban ayam dan rumah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini beliau berkata lelaki itu dipercayai seorang pembekal mercun kecil-kecilan untuk pasaran di sekitar daerah ini.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, dua lagi pembekal mercun kecil-kecilan ditahan.

Ahmad Mazlan berkata dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Alor Wan Syed, Pengkalan Berangan, di sini Isnin lepas pada kira-kira pukul 3.30 pagi dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM500.

Susulan serbuan itu polis menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Safiah Murni, Bukit Payong dan merampas mercun serta bunga api yang benilai kira-kira RM300. -BERNAMA

Artikel Lain