Pelajar Saman Khazanah Selepas Gagal Dapat Biasiswa - Semasa | mStar

Pelajar Saman Khazanah Selepas Gagal Dapat Biasiswa

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar yang gagal mendapat Biasiswa Khazanah-Cambridge menfailkan saman terhadap Khazanah Nasional Berhad dan tiga lagi.

Chan Xian Yao, 19, memfailkan saman itu melalui firma guaman bapanya Chan Chow Wang di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, Khamis.

Beliau menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, pengarahnya Azman Mohd Hussein, Khazanah dan Yayasan Khazanah sebagai defendan.

Dalam saman itu Chan memohon perisytiharan bahawa pemberian Biasiswa Khazanah-Cambridge kepada tiga penerima adalah tidak sah.

Dia juga memohon pampasan dan ganti rugi kerana mengalami perasan malu dan tekanan akibat gagal mendapat biasiswa itu.

Chan, yang ditawarkan tempat di Universiti Cambridge selama empat tahun bagi mengikuti kursus kejuruteraan kimia bermula Oktober tahun ini, mendakwa defendan tidak menjalankan proses pemilihan yang baik atau adil semasa peringkat pemilihan.

Pelajar itu berkata, Yayasan Khazanah telah menghantar satu e-mel kepadanya menyatakan dia tidak berjaya dalam permohonannya tanpa sebarang alasan.

Katanya, defendan dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Jun lepas telah menyatakan hanya tiga pemohon diberi biasiswa itu tanpa memberi maklumat pemohon itu seperti nama, kursus atau keputusan akademik mereka.

Artikel Sebelum

MRT Co Ambil Alih Projek MRT Lembah Klang

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

'Pekan Heritage' Tarikan Baru Di Pekan

Lebih Artikel