suria

Malaysia Catat Pertumbuhan 4.0 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus pada suku kedua tahun ini daripada pertumbuhan yang disemak semula iaitu 4.9 peratus pada suku pertama berikutan keadaan luaran yang lemah dan perbelanjaan sektor awam yang rendah, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata gangguan dalam rantaian bekalan pembuatan global yang tercetus hasil daripada bencana di Jepun dan kelemahan secara keseluruhan dalam permintaan di negara-negara maju yang menyebabkan kelembapan dalam pembuatan, yang hanya meningkat 2.1 peratus.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata yang ekonomi mampu mengekalkan unjurannya iaitu 5-6 peratus tahun ini, disokong oleh asas-asas kukuh ekonomi serta projek-projek daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Sumber utama pertumbuhan dalam suku kedua terus dirangsang oleh pengembangan mampan permintaan domestik swasta/persendirian dan perdagangan intra serantau yang disokong oleh eksport komoditi dan produk berasaskan sumber ke rantau ini," kata beliau dalam persidangan akhbar di sini untuk mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2011.

"Sehubungan itu, permintaan domestiklah yang menyokong pertumbuhan kita dalam suku kedua tahun ini," kata beliau.

KDNK dalam suku kedua mengembang sebanyak 8.9 peratus sementara ia meningkat 4.4 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ditanya sama ada unjuran pertumbuhan 5-6 peratus akan dikekalkan, beliau berkata, "Buat masa sekarang, penilaian kita tidak mungkin ekoran prestasi separuh pertama dan pertumbuhan tahun sepenuhnya akan hampir kepada 5.0 peratus."

"Justeru itu, tiada semakan semula pada peringkat ini tetapi kita akan membuat penilaian yang teliti apabila Bajet 2012 dibentangkan Oktober ini dan jika terdapat sebarang semakan perlu dibuat, ia akan dilakukan ketika itu.

"Bagaimanapun, jika kita mempunyai situasi di mana Amerika Syarikat dan Eropah tergelincir memasuki kemelesetan atau apa-apa sahaja faktor pencetus yang menjurus kepada kebinasaan dalam pasaran kewangan antarabangsa, maka, kita perlulah membuat penilaian semula."

"Tetapi sekiranya itu tidak berlaku, penilaian kita ialah kita boleh mencapai sekurang-kurangnya 5.0 peratus pertumbuhan kerana ekonomi kita masih kekal dengan pertumbuhan kukuh dan pelaburan sektor persendirian swasta yang menggalakkan.

"Kita tahu dalam separuh kedua tahun ini, banyak lagi pelaksanaan agresif Rancangan Malaysia Kesepuluh dan projek-projek ETP," katanya.

Jabatan Perangkaan dalam mengumumkan butir terperinci mengenai KDNK berkata sektor perkhidmatan kekal stabil, meningkat 6.3 peratus dengan sektor perdagangan borong & runcit terus menjadi pemangkin utama dengan mengembang 7.3 peratus.

Sektor pertumbuhan tumbuh sederhana sebanyak 2.1 peratus dengan prestasi lemah subsektor produk peralatan elektrik & elektronik dan kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain telah memperlahankan pertumbuhan sektor ini.

Sektor pertanian kembali kukuh kepada 6.9 peratus daripada negatif marginal 0.2 peratus pada suku sebelumnya, dipacu oleh lonjakan dua digit subsektor kelapa sawit iaitu sebanyak 22.3 peratus.

Sektor pembinaan menyusut kepada pertumbuhan marginal 0.6 peratus, disokong oleh prestasi yang lebih baik dalam dalam sub-sektor kediaman dan pertukangan khas tetapi pertumbuhan negatif dalam subsektor kejuruteraan awam telah menjejaskan pertumbuhan dalam pembinaan.

Untuk sektor perlombonan dan kuari, ia terus menunjukkan aliran menurun dengan merosot kepada 9.2 peratus dalam suku semasa berikutan penurunan dalam pengeluaran minyak mentah sebanyak 21.0 peratus.

Dalam suku ini, pertumbuhan positif dalam pengeluaran gas asli sebanyak 2.7 peratus tidak boleh mengimbangi pertumbuhan negatif dalam sektor ini, kata jabatan itu.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai prestasi kukuh ringgit, gabenor berkata pasaran tukaran asing kekal teratur yang membolehkan urus niaga dua hala dan pelaburan asing langsung dilaksanakan dengan berkesan.

"Pengukuhan itu telah diserap oleh ekonomi Malaysia yang anjal dalam menguruskan transaksi tukaran asing," tambah beliau.

Ditanya sama ada akan terdapatnya kawalan modal jika ringgit terus meningkat, Zeti Akhtar berkata sistem kewangan kini dapat menguruskan aliran modal dengan lebih baik berbanding sebelumnya dan ini disebabkan oleh institusi kewangan yang lebih mantap dan pasaran kewangan yang lebih maju.

Beliau menambah yang Malaysia kini mempunyai rizab yang tinggi jadi "kita mempunyai kapasiti untuk menguruskan pergerakan yang ketara dalam mata wang, sama ada ia naik atau turun."

Ditanya sama ada terdapatnya semakan semula untuk angka-angka inflasi, Zeti berkata yang ia bergantung kepada perkembangan antarabangsa dan harga komoditi global.

Beliau berkata buat masa ini, bank pusat akan terus kekal dengan unjuran awalnya iaitu 2.5 peratus hingga 3.5 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain