suria

Kerusi Kota Siputeh Tidak Kosong - Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis menetapkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kota Siputeh tidak kosong dan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional masih wakil rakyatnya.

Panel tiga Hakim terdiri Datuk Ramly Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Aziah Ali, sebulat suara membenarkan rayuan oleh Abu Hassan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kerusi itu kosong dengan alasan Abu Hassan tidak menghadiri dua mesyuarat dewan pada 2009.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail kemudian membuat permohonan lisan supaya keputusan hari ini ditangguhkan bagi membolehkan beliau membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan tetapi ianya ditolak. Sebaliknya beliau diminta membuat permohanan penangguhan pelaksanaan hukuman itu secara rasmi.

Mahkamah juga menolak rayuan balas Abdul Isa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan beliau mendapatkan writ quo warranto bagi meminta Abu Hassan membuktikan kenapa beliau berhak menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Seputeh.

Mahkamah juga memerintahkan agar Abu Hassan dibayar kos RM5,000. SPR tidak memohon sebarang kos.

Pada 16 November 2009, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin (kini Hakim Mahkamah Rayuan), membenarkan permohonan Abdul Isa untuk mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukan lagi wakil rakyat bagi kerusi berkenaan selain memerintahkan SPR mengadakan satu pilihan raya kecil.

Pada 24 November 2009, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan SPR menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi supaya satu pilihan raya kecil diadakan, sehingga rayuan itu didengar hari ini.

Abdul Isa mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman pada 1 Okt 2009, selepas SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan menetapkan bahawa tidak berlaku kekosongan pada kerusi Kota Seputeh dan bahawa Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Dalam permohonannya, Abdul Isa berkata Abu Hassan gagal menghadiri dua mesyuarat dewan berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos 2009 tanpa kebenaran Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.

Dalam prosiding rayuan hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh, yang mewakili SPR, membangkitkan takrif "dua mesyuarat berturut-turut".

Katanya kedua-dua mesyuarat yang Abu Hassan tidak hadir bukannya "mesyuarat berturut-turut" berdasarkan Perlembagaan Kedah memandangkan dua mesyuarat itu diadakan pada sesi persidangan dewan yang berbeza.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Abu Hassan, berhujah bahawa anak guamannya itu tidak sihat dan telah diberi cuti sakit untuk dua hari.

Katanya Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah telah berlaku tidak adil terhadap Abu Hassan kerana tidak menerima mahupun menolak surat penjelasan daripada Abu Hassan.

Beliau mempersoalkan kepantasan dan cara Speaker itu mahu diadakan satu pilihan raya kecil.

Sulaiman Abdullah, peguam yang mewakili Abdul Isa, pula berhujah bahawa Speaker itu bertindak betul dalam mengisytiharkan kerusi itu kosong kerana beliau tidak memberikan cuti kepada Abu Hassan.

Di luar mahkamah, Hafarizam yang juga penasihat undang-undang Umno, berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini memandangkan Abu Hassan tidak dibayar elaun wakil rakyat sejak 2009.

"Ia satu kemenangan buat Umno dan BN," katanya.

Abu Hassan turut hadir pada prosiding hari ini. -BERNAMA

Artikel Lain