suria

Kemalangan Maut Turun 4% Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya bagi enam bulan pertama tahun ini, menurun empat peratus atau 136 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pada tahun lepas, sebanyak 3,379 kematian dilaporkan bagi tempoh tersebut berbanding dengan 3,243 tahun ini.

"Walaupun kadar kematian menurun sedikit, para pengguna jalan raya perlu lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sendiri dan sentiasa bertimbang rasa semasa menghadapi ragam pengguna jalan raya yang lain, terutama ketika balik ke kampung menyambut Aidilfitri tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-13 di Plaza Tol Sungai Besi di sini, Khamis.

Pada tahun lepas, 60 peratus daripada kes kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, dan untuk enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,658 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, katanya.

Kong berkata punca utama kemalangan maut yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah kecederaan di bahagian kepala.

"Saya ingin menyeru penunggang motosikal memastikan motosikal mereka dalam keadaan baik, dan sebelum memulakan perjalanan pastikan dapat rehat secukupnya," katanya.

Selain itu, Kong berkata kadar kemalangan yang menyebabkan kecederaan berat dari Januari hingga Jun tahun ini menurun sebanyak 33.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, iaitu dari 4,126 kes kepada 3,144 kes.

"Ini menunjukkan usaha kerajaan bersama industri berkaitan dan badan bukan kerajaan (NGO) menghasilkan impak positif dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna mengenai keselamatan jalan raya. Usaha ini akan diteruskan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) Wee Hong berkata kempen itu bertujuan memberi pendedahan kepada penunggang dan pembonceng motosikal mengenai ciri-ciri keselamatan jalan raya.

"Beberapa juruteknik terlatih dari Hong Leong Yamaha Motor akan memberi perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 15 tempat di motosikal secara percuma dan cara menunggang motosikal dengan selamat," katanya.

Program ini juga akan dilancarkan di Kuantan, Pahang (esok), Segamat, Johor (22 Ogos), Melaka (23 Ogos), Seri Iskandar, Perak (24 Ogos) dan Seberang Perai, Pulau Pinang (25 Ogos). - BERNAMA

Artikel Lain