suria

Bryan Hanya Raih Tempat Kelima

SHENZHEN: Atlet terjun negara Bryan Nickson sekadar menduduki tangga kelima pada saingan akhir acara 3m papan anjal lelaki Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011, di Shenzen Natatorium di sini pada Rabu.

Aksi kurang bermaya Bryan dengan catatan 57.35 mata pada terjunan pertama menjejaskan peluangnya untuk meraih kedudukan pingat dan sekalipun cemerlang dengan terjunan berikutnya beliau sekadar mengumpul 438.85 mata.

Pingat emas menjadi milik penerjun dari China, He Chong yang melakukan catatan 539.90 mata sementara Julian Sanchez Gallegos dari Mexico meraih perak dengan kutipan 515.50 mata dan penerjun Ukraine Ilya Zhakharov di tempat ketiga dengan 471.95 mata.

Ketika ditemui Bernama selepas itu, Bryan meluahkan rasa terkilan dengan kesilapan yang dilakukannya pada terjunan pertama.

"Biasanya pada latihan, saya boleh buat dengan baik namun entah mengapa terjunan saya tidak begitu menjadi. Namun, memandangkan atlet yang datang sini ramai yang bagus, mendapat tempat kelima sudah kira satu kedudukan yang baik " kata pelajar Universiti Malaya itu.

Bryan berkata beliau yakin rakan seperjuangannya, Pandelela Rinong mampu menyumbang pingat pertama buat kontinjen negara di Universiade apabila beraksi dalam acara 10m platform individu wanita pada Khamis.

Atlet dari Sarawak itu berkata fokusnya kini adalah pada acara kegemarannya iaitu 10m platform individu yang dijadualkan pada Isnin ini.

Selain Pandelela, turut beraksi pada acara 10m platform individu wanita ialah Leong Mun Yee. - BERNAMA

Artikel Lain