suria

Pembangkang Tuntut Ketuai Jawatankuasa Pemilihan Parlimen

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) pada Selasa menyokong langkah kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya namun menuntut supaya ia diketuai wakil pembangkang.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, jawatankuasa berkenaan perlu diketuai oleh pemimpin pembangkang bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan penubuhannya.

"Pembangkang perlu diberi tanggungjawab untuk mengetuai jawatankuasa ini bagi memelihara kepercayaan rakyat terhadap pembaharuan yang bakal dilakukan," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di sini, Selasa.

Selain itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan akan menjadi sia-sia sekiranya ia diketuai olehwakil pihak kerajaan dengan pembangkang bertindak sebagai wakil minoriti.

"Kita nak tahu struktur jawatankuasa ini, tak ada guna jawatankuasa ini sekiranya dalam budaya Parlimen Malaysia, pihak kerajaan akan mengetuainya dan kita akan jadi minoriti," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut yang akan dianggotai wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang untuk membincangkan penambahbaikan pilihan raya di negara ini.

Najib berkata jawatankuasa yang akan dibentuk dalam waktu terdekat itu adalah tindak balas proaktif kerajaan BN bagi menangani pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai pendapat serta polemik.

Selain itu Salahuddin berkata piahknya kesal dengan tindakan terburu-buru kerajaan untuk mengadakan mesyuarat kali pertama pada Rabu mengenai jawatankuasa pemilih tersebut tanpa memaklumkan kepada pihak pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, agensi berita Bernama melaporkan jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat esok berhubung pembentukannya.

"Kami tidak dihubungi, tak ada perundingan dengan kami. Apa jenis dan apa bentuk jawatankuasa itu pun kita tak dapat gambaran.

"Kalau benar laporan Bernama, kita sangat kesal. Kenapa Perdana Menteri begitu tergesa-gesa untuk tubuhkan jawatankuasa ini kerana semua parti politik tidak dirunding," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kegagalan pihaknya menuntut agar Najib memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan mengenai pilihan raya, Salahuddin berkata Perdana Menteri tidak seharusnya lari daripada persoalan asal apabila mengumumkan jawatankuasa pemilih tersebut.

Jelas beliau, jawatankuasa pemilih seperti yang diumumkan Najib tidak akan berjaya menyelesaikan isu yang dibangkitkan pihaknya khusus berkaitan dakwaan penyelewengan daftar pemilih pilihan raya.

"Jawatankuasa berkenaan hanya tumpu kepada pembaharuan sistem pilihan raya.

"Setelah gagal panggil sidang Parlimen kami mendesak supaya ditubuhkan satu jawatankuasa pendengaran awam agar rakyat dapat kemukakan bukti mengenai penyelewengan yang berlaku," katanya.

Artikel Lain