suria

Pembangkang Diminta Rasional Terhadap Usaha Kerajaan Menambah Baik Sistem Pilihan Raya

KOTA BARU: Parti pembangkang diminta lebih rasional dan menerima usaha kerajaan untuk menambah baik beberapa perkara termasuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Parlimen untuk memastikan sistem pilihan raya adalah telus seperti kehendak pembangkang sendiri.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, berkata jika semua usaha kerajaan itu dibangkang dan dipolitikkan, ia tidak akan memberi sebarang makna dan rakyat sebenarnya jemu dengan "permainan" mereka.

"Kalau apa yang kerajaan buat semuanya nak dibangkang tetapi apa yang mereka lakukan semuanya betul, padahal apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan semua pihak.

"Penubuhan jawatankuasa ini perlu disokong semua kerana ini merupakan kaedah yang paling baik sekali. Ini usaha penambahbaikan kepada sistem pilihan raya seperti apa juga yang dimahukan pembangkang," katanya selepas Majlis Semarak Ramadan di Masjid Al-Quddus di sini Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu bagi membincangkan pembaharuan pilihan raya dalam tempoh terdekat untuk mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi kerajaan.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah yang lebih telus dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub, dalam reaksinya, berkata parti itu belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menerima atau menolak cadangan itu, malah menyifatkan usaha itu sebagai helah kerajaan untuk mengelak persoalan utama iaitu isu pendaftaran warga asing sebagai pemilih.

Mengulas perkara itu, Mohd Fatmi berkata parti pembangkang perlu bersama-sama kerajaan membina negara ini ke arah yang lebih baik dengan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan nama negara di mata dunia. - BERNAMA

Artikel Lain