suria

Peguam Negara Mohon Tolak Permohonan Bersih 2.0

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara memfailkan permohonan bagi mengetepikan permohonan oleh kumpulan dikenali Bersih 2.0 yang mahu diadakan semakan kehakiman bagi menolak satu perintah bahawa kumpulan itu adalah sebuah pergerakan haram.

Mahkamah Tinggi akan mendengar bantahan awal Pejabat Peguam Negara itu pada 19 Sept ini.

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas menemui pihak-pihak terbabit, Rabu.

Pada 8 Julai, 14 anggota jawatankuasa pemandu pergerakan itu termasuk Datuk S.Ambiga mengemukakan permohonan bagi semakan kehamiman itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Mereka diwakili peguam Tommy Thomas, Fahri Azzat dan K.Shanmuga manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said, Azizan Md Arshad dan Andi Razalijaya A.Dadi.

Kamaludin memberitahu pemberita bahawa Pejabat Peguam Negara mahu permohonan kumpulan itu ditolak kerana afidavit yang dikemukakan oleh Ambiga bagi menyokong permohonan berkenaan adalah lemah. - BERNAMA

Artikel Lain