suria

Najib Seru Rakyat Islam Hayati Al-Quran Guna Aplikasi Telefon Pintar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia beragama Islam supaya menghayati kandungan Kitab Suci Al-Qur'an yang kini boleh dilakukan dengan mudah menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar.

Perdana Menteri berkata demikian dalam kemaskini status Facebooknya pada Rabu sempena Nuzul Qur'an yang jatuhnya pada setiap hari ke-17 bulan Ramadan.

Menurut beliau, Al-Quran bukan sekadar memberi pedoman ibadah tetapi juga boleh menjadi petunjuk pelbagai bidang kehidupan manusia seharian merentasi zaman.

"Sempena Nuzul Al-Quran 17 Ramadan ini, saya harap rakyat Malaysia beragama Islam mengambil peluang menghayati kandungan kitab suci ini.

"Lebih-lebih lagi di zaman teknologi maklumat (IT), kemudahan seperti internet dan aplikasi telefon pintar mampu mempermudahkan penghayatan Al-Quran," katanya.

Umat Islam di Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu hari ini bercuti umum menyambut peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu hari turunnya Al-Quran. - BERNAMA

Artikel Lain