suria

Menteri Perlu Hadir Mahkamah Untuk Dengar Permohonan Maaf

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen diminta untuk hadir ke Mahkamah Tinggi di sini pada 15 September ini bagi mendengar permohonan maaf oleh Pengarah syarikat pengiklanan, Integrated Startegic Communications Sdn Bhd (ISC), Austen Victor Lauw Zecha terhadapnya.

Hakim Datuk V. T Singham menetapkan tarikh itu pada Rabu, selepas dimaklumkan bahawa Ng dan Austen Victor bersetuju untuk menyelesaikan saman fitnah yang difailkan oleh menteri terbabit secara baik di luar mahkamah dengan terma-terma yang dipersetujui.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh peguam-peguam yang mewakili kedua-dua pihak iaitu Sunil Abraham bagi Ng manakala Austen Victor diwakili oleh peguam T.H Liew.

Sunil juga memberitahu, antara terma yang dipersetujui adalah permohonan maaf tersebut perlu disiarkan di surat khabar Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau dalam tempoh masa 48 jam selepas ia dibacakan secara terbuka di mahkamah.

Selain itu, Austen Victor juga perlu membaca permohonan maaf di saluran radio BFM89.9 dalam tempoh masa seminggu selain diarahkan untuk membayar ganti rugi yang tidak dinyatakan kepada Ng.

Ng, 65, memfailkan saman pada 14 April lalu menerusi Tetuan ZulRafique & Partners kerana mendakwa Austen Victor, 71, telah mengeluarkan kenyataan fitnah dalam satu program radio berkaitan proses tender pengiklanan kementeriannya.

Dakwanya lagi, kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh Austen pada 18 Mac lalu di stesen radio BFM89.9 adalah tidak benar.

Seterusnya, naib presiden MCA itu juga mendakwa, kenyataan itu menggambarkan dirinya sebagai tidak jujur dan menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri untuk membuat keuntungan peribadi.

Ng juga mendakwa, kenyataan defendan telah mencemarkan reputasinya.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Ng memohon agar gantirugi yang tidak dinyatakan jumlahnya selain injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengeluarkan kenyataan tersebut.

Pada prosiding 17 Jun lalu, mahkamah diberitahu bahawa Austen Victor bersedia untuk menyelesaikan saman tersebut secara baik di luar mahkamah.

Artikel Lain