suria

Hasil Kajian Tanah Runtuh Cameron Highlands Dua Minggu Lagi

KUALA LIPIS: Keputusan mengenai penempatan semula 121 keluarga Orang Asli Kampung Ruil, Tanah Rata, dekat Cameron Highlands yang terlibat dengan tragedi tanah runtuh baru-baru ini hanya akan diketuai selepas Jabatan Mineral dan Geosains dan Jabatan Kerja Raya selesai membuat kajian dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan bersedia menempatkan semula 666 orang penduduk terbabit ke penempatan baru sekiranya keputusan kajian itu mendapati kawasan kediaman mereka seluas 64 hektar itu berbahaya untuk terus diduduki.

"Kerajaan akan mencari satu tapak penempatan baru yang sesuai bagi penduduk terbabit supaya tragedi buruk itu tidak akan berulang di masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian duit raya kepada anak yatim kepada peneroka Felda Koyan 1, 2 dan 3 di sini, Selasa.

Dalam kejadian pada 7 Ogos lepas, tujuh orang terbunuh manakala dua parah akibat tertimbus dalam tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, dekat Cameron Highlands.

Wan Rosdy berkata penduduk kampung tersebut yang ditempatkan di dewan orang ramai, kini dibiayai sepenuhnya kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli, dengan pembekalan barang-barang keperluan termasuk makanan serta pakaian, dan mereka ditegah daripada memasuki kampung itu.

Beliau berkata polis membuat kawalan rapi bagi mencegah penduduk daripada memasuki kampung dan rumah mereka untuk mengelak kemalangan berlaku kerana kawasan terbabit masih dianggap berisiko.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri Pahang menghulurkan bantuan wang tunai RM10,000 kepada setiap keluarga yang terkorban dan RM3,000 mereka yang cedera.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberikan pembelaan di dalam meningkatkan lagi taraf penghidupan masyarakat Orang Asli di negeri itu. - BERNAMA

Artikel Lain