suria

Hanya Calon Boleh Menang Untuk PRU Ke-13

LUMUT: Pergerakan Pemuda Umno hanya akan mengemukakan mereka yang benar-benar layak dan 'winnable' sahaja sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu katanya, Pemuda Umno tidak akan meminta tempat untuk sayap tersebut.

"Jika dulu, kita minta lebih ramai calon mengisi kuota untuk calon Pemuda, dengan beranggapan kononnya jika lebih ramai calon mengisi kuota tersebut maka akan dilihat semakin hebat untuk kekuatan parti.

"Tetapi, sekarang kita bukan lagi semata-mata mengejar kuota...jika peratusan yang boleh menang hanya 20 peratus, maka sebanyak itu juga akan diminta daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita, di sini malam Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Jelajah One Malaysia (JOM) Ramadan, di Surau Nurul Iman di Pasir Panjang dekat sini.

Katanya beliau sedang menilai calon yang layak pada kalangan anggota sayap dari semua peringkat.

Mengulas perkembangan lain, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional mendesak kerajaan Selangor agar segera mengeluarkan laporan lengkap mengenai isu murtad yang heboh diperkatakan di negeri itu.

Kataya isu sensitif seperti itu tidak perlu dilengahkan kerana melibatkan agama dan mendatangkan kemarahan pada kalangan umat Islam serta penganut Kristian di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain