suria

Guna Dua Bahasa Ajar Sains, Matematik Masih Di Peringkat Kajian

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata kajian itu perlu dilakukan dalam konteks kerajaan telah memutuskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Katanya kajian itu sedang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa kecil yang telah ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

"Ini kerana yang kita utamakan dalam dasar baru kita ialah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris. Saya tahu ramai ibu bapa yang berminat tentang soal pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris.

"Jadi apabila ada saranan begitu, mungkin ada pihak yang menyatakan boleh tak beri kelonggaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di sini, Selasa.

April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mendapatkan input daripada ibu bapa sebelum memutuskan mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Najib berkata Kementerian Pelajaran juga akan mengkaji sama ada mungkin subjek-subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah terpilih tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Muhyiddin berkata kementerian juga tidak boleh membuat keputusan terburu-buru dan perlu mengkaji secara mendalam dan tidak mengambil kira satu atau dua cadangan yang diterima.

Katanya kementerian kini sedang memberi tumpuan dari segi cara dan kaedah untuk dilaksanakan bagi memperkukuh pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah.

"Beberapa hari lepas, saya telah mengeluarkan kenyatan tentang kurang kemampuan pelajar kita untuk menguasai bahasa Inggeris. Jadi, ini memerlukan kita buat kajian secara mendalam.

"Ini kerana kita tidak mahu melaksanakan sesuatu tanpa mempunyai guru yang terlatih akhirnya kesan tidak sampai seperti yang diharapkan," katanya.

Muhyiddin berkata langkah itu memerlukan kajian dari segi latihan perguruan, guru untuk ditempatkan di sekolah, tempoh masa untuk pelajar mempelajari bahasa Inggeris, buku yang digunakan atau kurikulum yang diketengahkan.

"Ada pihak mencadangkan supaya memperkenalkan semula sistem pendidikan dahulu di mana lebih banyak membaca atau bertutur atau memperkenalkan komponen sastera dalam pembelajaran bahasa Inggeris kerana sastera boleh menjadikan pelajar kreatif," katanya.

Mengenai pengambilan guru pakar bahasa Inggeris dari luar negara, beliau berkata 50 orang guru pakar bahasa Inggeris akan dihantar oleh Amerika Syarikat ke negara ini pada tahun depan di bawah program Sistem Pengajaran Inggeris Fulbright.

Beliau berkata mereka yang merupakan kumpulan pertama itu akan mengajar dan membimbing guru-guru bahasa Inggeris manakala guru pakar bagi kumpulan kedua nanti akan ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih untuk mengajar bahasa Inggeris. - BERNAMA

Artikel Lain