suria

Lelaki Ditemui Mati Akibat Ditetak Di Dada

PETALING JAYA: Seorang pemberi hutang atau "Along" ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bilik air sebuah premis kopitiam dan karaoke di kawasan Petaling Jaya Commercial City (PJCC) di sini, Isnin akibat ditetak di bahagian badan.

Mayat Phua Wei Loon, 25, dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah ditemui seorang rakannya kira-kira 9.30 malam yang datang ke premis berkenaan untuk mencarinya setelah mengesyaki sesuatu buruk berlaku selepas gagal menghubungi mangsa.

Phua, yang berasal dari Banting, Selangor dikatakan datang ke premis berkenaan untuk berjumpa pemilik premis bagi tujuan memungut hutang.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata polis tidak menolak kemungkinan telah berlaku pergaduhan antara pemilik premis dan Phua sebelum mangsa dibunuh.

Polis kini mengiatkan usaha memburu pemilik premis itu yang dilaporkan menghilangkan diri, katanya.

"Buat masa ini kita belum dapat mengesan pemilik premis yang mana kita percaya ia ada kaitan dengan pembunuhan itu. Kita dapati premis terbabit ditutup dan tidak menjalankan perniagaan seperti biasa," katanya, sambil menambah bahawa polis juga tidak menolak suspek kes itu melibatkan lebih daripada seorang.

Arjunaidi berkata mangsa ditetak menggunakan sejenis senjata tajam yang tidak ditemui di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA

Artikel Lain