suria

Isu Pemberimilikan Tanah Orang Asli Selesai Dibincang

SEREMBAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah selesai berbincang dengan semua kerajaan negeri berhubung dasar pemberimilikan tanah untuk Orang Asli.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Sani Mistam berkata semua kerajaan negeri dibawa berbincang dan sebahagiannya bersetuju dengan apa yang dituntut oleh masyarakat Orang Asli.

"Selepas ini kita akan membawa perkara ini balik kepada jemaah menteri dan seterusnya kepada Majlis Tanah Negara (MTN) untuk dimuktamadkan.

"Antara perkara yang dituntut mereka ialah dari segi keluasan tanah dan dari segi tempoh, sama ada pajakan 99 tahun atau pun hak milik kekal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka di sini, malam Isnin.

Mohd Sani berkata dalam hubungan ini, ada negeri yang bersetuju dengan pegangan bebas dan ada negeri bersetuju secara pajakan 99 tahun tetapi secara automatik ia diperbaharui.

"Selepas raya ini kita akan kemukakan kertas rumusan perbincangan dengan kerajaan negeri dengan pihak kementerian (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan selepas itu tindakan susulan akan diambil untuk membawa (dibentangkan) pula kepada jemaah menteri dan seterusnya MTN.

"Antara negeri yang terbabit ialah Johor, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Kelantan dan Terengganu, kecuali Pulau Pinang dan Perlis yang tiada Orang Asli," kata Mohd Sani.

Katanya pada dasarnya semua negeri bersetuju untuk memberi hak milik tanah kepada ketua-ketua isi rumah Orang Asli tetapi pihaknya akan melihat kesediaan negeri-negeri berkenaan.

"Contoh di Kelantan, negeri itu lebih kepada hendak mewartakan dulu tanah- tanah yang didiami Orang Asli, manakala negeri-negeri lain mungkin mereka hendakkan hak milik," katanya.

Beliau berkata jika perkara ini dipersetujui, sebuah keluarga Orang Asli akan mendapat sebidang tanah untuk tapak rumah dan juga ladang yang akan menjadi hak milik tetap mereka. - BERNAMA

Artikel Lain