suria

UPP Rampas Tujuh Bungkusan Mercun, Bunga Api Di Sempadan

PADANG BESAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas tujuh bungkusan berisi mercun dan bunga api dalam kawasan semak di Stesen Kurantin Lama di sini malam Ahad.

Komander UPP Perlis DSP Zakaria Abdul Rahman berkata UPP juga menahan dua lelaki rakyat tempatan berumur 25 dan 39 tahun yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Hasil penahanan itu UPP menemui tujuh bungkusan mercun dan bunga api yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2,500," katanya di Kem UPP Padang Besar di sini malam tadi.

Katanya UPP kawasan Padang Besar membuat pemantauan di kawasan itu mulai pukul 9 malam tadi setelah mendapat maklumat awam dan terserempak dengan dua lelaki yang mencurigakan lalu menahan mereka.

Zakaria percaya mercun dan bunga api pelbagai jenis itu diseludup masuk melalui pagar keselamatan dan disimpan di kawasan itu sebelum dipasarkan terutama sekitar Perlis dan Kedah.

Katanya para penyeludup mengambil kesempatan untuk menyeludup mercun berikutan permintaan yang tinggi menjelang sambutan hari raya Aidil Fitri.

Kes itu telah diserah kepada polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain